Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu mohon cabar keputusan Speaker di 4 kerusi parlimen Sabah
Diterbitkan:  Apr 28, 2023 1:48 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Bersatu telah memfailkan permohonan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang tidak mengosongkan empat kerusi parlimen di Sabah.

Dalam permohonan yang difailkan pada 17 April di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, parti itu memohon  perisytiharan bahawa kerusi Papar, Batu Sapi, Ranau, dan Sipitang yang disandang oleh bekas ahli Parlimen Bersatu, sudah dikosongkan

Ia menamakan Johari, dan empat ahli parlimen kerusi berkenaan iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai lima responden, lapor Berita Harian.

Empat ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), manakala Bersatu adalah sebahagian daripada GRS. Bersatu bagaimanapun digugurkan sebagai ahli gabungan itu selepas pilihan raya.

Dalam surat kepada Bersatu pada 16 Jan, Johari berkata empat bekas anggota Bersatu itu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka kerana mereka sudah memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam permohonan kebenaran itu, Bersatu memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat tersebut.

Selain itu, parti berkenaan juga  memohon perisytiharan bahawa empat ahli Parlimen terbabit sudah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan memohon perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi parlimen berkenaan.

Bersatu turut memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah terbabit

Sekiranya kebenaran diberikan dan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman, Bersatu  memohon perintah penzahiran supaya responden mengemukakan ksemua surat-menyurat dan rekod kepada dan daripada Johari berhubung maklumat dan penjelasan mengenai pemberhentian semua ahli parlimen terbabit pengesahan bahawa tiada berlakunya kekosongan luar jangka.

Sementara itu, portal FMT pula melaporkan permohonan itu dijadualkan didengar di hadapan Hakim Amarjeet Singh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Mei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS