Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN l Jangan boikot, buat gaduh sebab ini duit rakyat

ULASAN l Daripada kenyataan media Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil seperti dalam gambar di bawah, bolehlah diandaikan yang Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri ini adalah tajaan kerajaan Malaysia.

Senarai Majlis Rumah Terbuka tahun ini

Maksudnya dibiyai menggunakan duit pembayar cukai. Duit kita semua lah. Semua sekali ada enam buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

Pra-Madani, perdana menteri buat rumah terbuka sekali saja di Seri Perdana. Bila buat di enam buah negeri secara jemputan terbuka, tentulah ramai datang dan besar pulalah belanjanya. Itu belum kira lagi belanja perjalanan dan penginapan anggota kabinet dan pegawai mereka.

Gambar Hiasan - Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya, 2017

Kebetulan, negeri-negeri yang dipilih itu adalah negeri-negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Kita bukan nak cari gaduh dengan kerajaan atau nak bangkang semua yang kerajaan buat. Tapi apabila Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari kata, rumah terbuka di enam buah negeri dianggap lebih jimat berbanding penganjuran di satu tempat saja oleh kerajaan persekutuan sebelum ini, kita rasa peliklah sikit.

Beliau bagi contoh Kerajaan Selangor belanja lebih RM1 juta untuk rumah terbuka pada tahun 2016, 2017, 2018 dan 2019. Tapi tahun lalu apabila dipecahkan kepada sembilan daerah, perbelanjaan keseluruhan hanya RM900,000 atau RM100,000 setiap daerah.

Gambar Hiasan - Amirudin Shaari

Tak kiralah banyak mana, duit tetap duit. Apatah lagi dalam keadaan hutang dan jaminan hutang kerajaan yang banyak. Ikut Belanjawan 2023 dianggarkan RM1.44 trilion.

Semua negeri yang disasarkan adalah di Semenanjung. Tiga diperintah oleh PH-Umno dan tiga oleh Perikatan Nasional. Sepatutnya, atas dasar integrasi nasional, masukkanlah salah sebuah atau kedua-dua buah sekali negeri Borneo.

Nampak sangat negeri-negeri yang sudah buat PRN, iaitu Sarawak, Sabah, Melaka, Johor, Pahang dan Perak tidak masuk dalam senarai. Tidak dibagi muka dan keutamaan.

Gambar Hiasan - Anwar Ibrahim

Kalau hendak guna rumah terbuka Malaysia Madani sebagai "kempen" PRN sekali pun, apa salahnya kalau ada "finesse" sikit. Janganlah "wham bam thank you ma'am" macam lagu Mendiang Dean Martin.

Tapi bagus juga seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana, iaitu semua tiga buah negeri perintah PN mengalu-alukan rumah terbuka tersebut.

Kedua-dua belah pihak boleh gunakan acara ini untuk jalin silaturahim dan, kalau mahu, tunjuk kekuatan masing-masing. Jangan boikot atau buat gaduh sudahlah sebab ini duit rakyat jelata hasil cukai yang mereka bayar kepada kerajaan.


A KADIR JASIN ialah Tokoh Wartawan Negara (2011) dan bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. Ia pertama kali disiarkan di laman sosial dengan tajuk ‘Silaturahim lawan persaingan politik’.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS