Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanah runtuh di akademi SPRM akibat paip pecah
Diterbitkan:  Apr 25, 2023 5:35 PM
Dikemaskini: Apr 26, 2023 12:14 AM

Tanah runtuh berlaku berhampiran pintu masuk kampus Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Kuala Lumpur.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin dekat Bukit Tunku.

Bagaimanapun, sebuah pondok pengawal musnah akibat tanah runtuh itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar jam 2 petang dan tiba di tempat kejadian sejurus selepas itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan pergerakan tanah masih berlaku di kawasan itu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Kerja Raya dan Syabas telah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.

Maca merupakan pusat latihan untuk SPRM.

Sementara itu, Bernama melaporkan takungan air di sebelah pagar Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) dan paip bawah tanah yang pecah dipercayai menjadi antara punca kejadian tanah runtuh di hadapan akademi itu kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata Unit Forensik Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menjalankan analisis dan mendapati kewujudan takungan air di luar pagar itu mungkin disebabkan hujan lebat sejak tiga hari lepas.

“Selain itu, JKR juga mengesan paip pecah di bawah tanah akademi itu dan kedua-dua faktor terbabit menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar seterusnya berlaku kejadian tanah runtuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Beh semasa kejadian terdapat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang bertugas di luar pagar akademi itu dan mereka telah mendengar bunyi runtuhan tanah seterusnya melihat tanah di tepi pagar sudah runtuh.

Katanya, anggota Rela berkenaan kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan Maca dan sebaik mereka sampai dalam sekelip mata berlaku runtuhan susulan dianggarkan seluas 30.48 x 36.57 meter persegi yang turut melibatkan pondok pengawal.

“Kita telah membuat tindakan awal dengan mengarahkan 38 pekerja di MACA dan 38 pekerja di Institut Integriti Malaysia yang terletak bersebelahan akademi itu supaya keluar dan berpindah ke kawasan selamat,” katanya.

Beh menjelaskan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dan hanya pondok pengawal yang runtuh selain beberapa kenderaan terperangkap di dalam kawasan akademi berkenaan kerana runtuhan turut melibatkan satu-satunya jalan keluar/masuk ke akademi milik SPRM itu.

“Sebenarnya, terdapat kursus melibatkan kira-kira 70 rekrut baru SPRM di akademi itu dan mereka sedang bercuti sempena Aidilfitri, dan sepatutnya pulang malam ini.

“Mereka telah diarahkan supaya tidak perlu pulang dahulu susulan kejadian ini kerana keadaan masih lagi tidak selamat,” katanya lagi.

Sementara itu, SPRM memaklumkan seluruh kawasan akademi itu telah dikosangkan dengan memindahkan seramai 45 individu susulan kejadian tanah runtuh di pintu masuk utamanya pada kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Mereka terdiri daripada 22 pegawai, 16 pekerja pembersihan dan tujuh penghuni kuarters termasuk keluarga pegawai, kata suruhanjaya antirasuah itu.

Ketika kejadian, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang merupakan petugas pentadbiran Maca dan Institut Integriti Malaysia, yang terletak bersebelahan akademi itu berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan tersebut namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS