Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Boy Iman antara 4 didakwa tipu urusan jual tapak Hooray X Fest Raya

Pelakon dan penerbit Boy Iman antara empat individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak festival Hooray X Fest Raya.

Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, Nor Azmi Jantan, 49, Norazah Sahud dan Norzana Rapie @ Rafie, masing-masing 51 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kesemua mereka didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan atau penyewaan tapak Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Putra (WTC) di Kuala Lumpur, sehingga menyerahkan RM1,500 pada 2.34 pagi, 19 April lepas di WTC.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada setiap tertuduh, bagaimanapun peguam Mohamad Syakir Mohamad Fawzi yang mewakili Boy Iman dan Nor Azmi memohon jumlah itu dikurangkan kerana kedua-dua anak guamnya menanggung keluarga.

Peguam Ernest Azad yang mewakili dua lagi tertuduh turut memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah ikat jamin terhadap anak guamnya.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 13 Jun ini bagi sebutan semua kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS