Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi ketua arkitek permusuhan antara PAS-DAP, kata Ramasamy
Diterbitkan:  Apr 23, 2023 3:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy, berkata, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, adalah punca permusuhan antara parti itu dengan DAP.

Kata Ramasamy yang juga adalah timbalan ketua menteri II Pulau Pinang tu, sekiranya Mursyidul Am PAS,  Nik Abdul Aziz Nik Mat, masih hidup, ketegangan di antara kedua-dua parti itu tidak akan berlaku seperti hari ini.

P Ramasamy

“Hadi adalah ketua arkitek permusuhan antara DAP dan PAS.

“Jika Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz, masih hidup, permusuhan antara kedua-dua parti itu tidak akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramasamy mengulas kenyataan Hadi yang mendakwa PAS tidak boleh dimasukkan ke dalam dapur masakan DAP yang ada bersamanya makanan yang tidak halal, walaupun bertukar tukang masaknya atau diambil tukang masak beragama Islam.

Ramasamy secara sinis, berkata Hadi yang juga adalah Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah hilang ingatan mengenai kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 hingga Jun 2015.

"Sungguh melucukan kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang bahawa walaupun DAP melantik seorang chef Muslim, parti itu tidak akan pernah masuk ke dapurnya.

"Namun begitu, Hadi mudah lupa, mungkin disebabkan kesilapan ingatannya, antara April 2008 dan sehingga Jun 2015, ketika Pakatan Rakyat wujud, PAS tidak mempunyai masalah untuk memasuki dapur DAP.

"Pada masa itu, tidak ada bezanya sama ada chef itu beragama Islam atau tidak," katanya.

Justeru, Ramasamy berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia tidak lagi mengambil serius pandangan Hadi.

Abdul Hadi Awang

"Kenyataan Hadi khusus terhadap DAP bukan saja tidak masuk akal tetapi sebaliknya  lebih mencerminkan pandangan perkauman dan agamanya yang melampau," katanya.

Ramasamy turut menempelak sikap Hadi yang sentiasa membalas kenyataan dan pandangan umum DAP, tetapi membisu diri serta memekakan telinga mengenai rasuah dan pengubahan wang haram dalam gabungan PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS