Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, di Kuala Lumpur hari ini.
Pasangan diraja itu berangkat tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Solat sunat dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni itu turut disertai anggota Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri bersama pasangan dan orang awam.
Ini kali kedua Yang di-Pertuan Agong menunaikan solat sunat itu di luar dari Istana Negara.
Tahun lepas, Seri Paduka menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan setelah dua tahun baginda melakukannya di Istana Negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Khutbah Aidilfitri bertajuk “Aidilfitri Lebih Bererti” dibacakan Ehsan, antaranya menyeru umat Islam agar memanfaatkan keberkatan Aidilfitri untuk memperbaiki hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat.
Selain itu, umat Islam turut diseru untuk menyemai perasaan saling menyayangi, menghormati antara satu sama lain, toleransi dan hidup dalam kesepaduan yang utuh bagi membangunkan negara secara holistik.
Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.
Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.
Seri Paduka berdua kemudian berangkat meninggalkan masjid pada 9.15 pagi diikuti Anwar dan Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri.
Pasangan diraja itu kemudiannya berkenan berangkat ke Majlis Santapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara di Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Dewan Santapan Utama, Istana Negara kira-kira pukul 10.10 pagi diiringi Anwar dan isteri, Dr Wan Azizah serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Antara menteri yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Selain itu, antara dif kenamaan yang hadir adalah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim.
Majlis itu turut disertai perwakilan asing, antaranya dari Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Turkiye, dan Brunei.
Kira-kira 2,000 hadirin yang terdiri daripada penjawat awam, pemimpin masyarakat serta komuniti Orang Asli turut memeriahkan majlis itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama hadirin.
Majlis santapan berkenaan dijadual berlangsung sehingga 2 petang ini.
- Bernama