Semua jenis perniagaan termasuk pasaraya besar (hypermarket), pasaraya (supermarket), kedai serbaneka dan restoran makanan segera tidak dibenarkan beroperasi pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
Arahan itu dikeluarkan oleh Yang dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menerusi satu pekeliling, hari ini.
"Adalah dimaklumkan, berdasarkan keputusan Pihak Berkuasa Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam telah menetapkan supaya semua pengusaha premis perniagaan, pasaraya besar (hypermarket), pasaraya (supermarket), kedai serbaneka dan restoran makanan segera tidak dibenar menjalankan operasi perniagaan pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
"Sehubungan dengan itu, pihak pengusaha dan pemilik premis tersebut di atas diingatkan supaya mematuhi arahan dan menutup operasi perniagaan pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Menurut pekeliling itu, mana-mana pihak yang gagal mematuhi notis tersebut, akan dikenakan tindakan kompaun maksimum sehingga RM 1,000.
"Selain tindakan pendakwaan (peniaga dan pemilik premis) boleh dihukum penjara selama tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Majlis juga boleh membatalkan lesen dan mengambil tindakan lain yang sesuai selaras dengan undang-undang," katanya lagi.