PAS tidak boleh ditipu dan diheret keluar daripada dasar dan dan hala tuju Islamnya, kata presiden parti, Abdul Hadi Awang.
Justeru, Hadi dalam satu catatan menerusi Minda Presiden yang disiarkan di laman sosial medianya, hari ini, berkata, PAS tidak seperti Umno, tidak akan dapat bekerjasama dengan DAP.
“Maka, PAS tidak boleh dimasukkan ke dalam dapur masakan DAP yang ada bersamanya makanan yang tidak halal, walaupun bertukar tukang masaknya atau diambil tukang masak beragama Islam,” tulis Hadi.
Hadi mengulas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang baru-baru ini berkata dia mahu melihat Umno menjadi lebih kuat berbanding Bersatu dan PAS.
Lim berkata Umno boleh mencapainya dengan mengembalikan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan bukannya meminta pengampunan untuk bekas presiden parti itu, Najib Razak.
Bagi Hadi, apa yang tersirat oleh Lim ialah DAP menegakkan agenda sekularisme, yang menurutnya tidak disebutkan dengan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, kata presiden PAS itu, parti itu tetap mempertahankan Islam yang nyata dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini mestilah mengikut tafsiran ajaran Islam berpandukan perkataan ‘al-din’ yang terkandung dalam al-Quran.
Hadi seterusnya menyifatkan DAP sebagai parti penipu yang kini mengejar cita-cita sekularisme melalui Umno.
Katanya, DAP dan sekutu baharu mereka cuba mencontohi penjajah dahulu dengan menggunakan Raja-raja Melayu sebagai "perisai manusia" sambil meninggalkan konsep Raja Berperlembagaan dan dipertanggungjawab menjaga agama Islam.
“Kini, DAP mendedahkan penipuan yang tidak dapat disembunyikan lagi apabila bekerjasama dengan Umno dengan tujuan mendapat undi Melayu Islam bagi menampung kegagalan PKR dan Amanah yang kehilangan undi Melayu Islam.
“Langkah yang menguji rakan-rakan Umno, sama ada perjuangan politik kerana cari makan dan jawatan atau kerana syarat menunaikan amanah perjuangan agama, bangsa dan tanah air dengan kuasa politik,” soal Hadi.
Hadi juga mengingatkan bahawa PAS bukannya Melayu Islam yang mudah lupa terhadap “Deklarasi Setapak” yang menyatakan tentangan parti itu terhadap pemisahan rakyat Malaysia menjadi "bumiputera" dan "bukan bumiputera".
DAP ketika itu dilaporkan mahu kesamarataan etnik menjadi prinsip paling penting dalam proses membina negara.
Hadi turut menyelar sikap DAP yang menyertai "himpunan kumpulan kiri" di Kajang, Selangor, beberapa tahun yang lalu. Himpunan itu dikatakan sebagai memperingati perjuangan kumpulan komunis menentang Jepun bersama British.
Acara pada tahun 2019 itu sebenarnya adalah sempena sambutan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Malaysia dan Parti Komunis Malaya yang sudah dibubarkan.
“Pada masa yang sama, mereka (DAP) memejam mata terhadap perjuangan awal kemerdekaan oleh raja-raja dan para ulama menentang penjajah sejak Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511 sebelum kedatangan pendatang yang menyokong DAP,” kata Hadi.
Presiden PAS itu juga menuduh DAP "menyanjung abu mayat" bekas pemimpin PKM Chin Peng, yang dibawa pulang ke Malaysia pada 2019.
Hadi berulang-kali menuduh DAP mempunyai kaitan komunis walaupun parti itu tidak ada kaitan dengan mana-mana acara berkenaan.
Pada November, 2020 ketika sekutu Hadi, Hamzah Zainuddin menjadi menteri dalam negeri, kerajaan mengumumkan bahawa tiada siapa yang akan didakwa kerana membawa abu mayat Chin Peng pulang ke Malaysia.
Chin Peng adalah antara bekas pemimpin PKM yang dinafikan hak untuk kembali ke Malaysia walaupun selepas menandatangi Perjanian Damai Hatyai.