Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

“Saya kejutkan ayah tetapi dia tak bangun, tangannya keras, badan ayah sejuk. Saya kemudian tutup kipas dan keluar beritahu mak cik sebelah rumah,” kata seorang kanak-kanak ketika ditanya bagaimana dia menyedari ayahnya meninggal dunia dalam kejadian 12 April lalu.

Sekelip mata Muhammad Yusri, 8, menjadi yatim piatu.

Sebelum si ayah meninggal dunia akibat serangan jantung itu, ibunya sudah meninggal dunia kira-kira setahun lalu.

Ayah Yusri merupakan warganegara Malaysia, namun arwah ibunya adalah rakyat Indonesia. Dan malangnya kanak-kanak itu kini terpaksa memikul beban akibat ‘kecuaian’ ibu bapanya yang gagal menguruskan dokumentasi bagi menentukan status kewarganegaraan buatnya.

Yusri tidak pernah bersekolah. Pada usia semuda itu pastinya dia belum benar-benar mengerti apa yang sedang dialaminya, apatah lagi masa depannya jika terus dibayangi ketidaktentuan gara-gara tiada dokumen pengenalan diri.

Buat masa ini Yusri dengan menumpang kasih dengan bekas isteri arwah ayahnya hasil perkahwinan terdahulu mereka. Pernikahan arwah bapa Yusri dengan wanita terbabit dikurniakan tiga orang anak berusia antara 14 hingga 24 tahun.

Walaupun tanpa ibu bapa kandung di sisinya, kehadiran keluarga baru itu setidak-tidaknya memberi sedikit kegembiraan buat kanak-kanak terbabit meraikan Aidilfitri.

Dari PD ke Teluk Intan

Ketika dia tidak keseorangan menghadapi masa depan, Yusri tentu tetap berharap masih ada sinar untuk dia melalui masa depan dengan lebih baik.

Namun pada masa sama keluarga baru Yusri itu mengakui mereka buntu memikirkan nasib kanak-kanak berkenaan khususnya tanpa sebarang dokumen peribadi, termasuk sijil kelahiran.

Masalah bermula apabila pernikahan ibu dan bapa kandung Yusri tidak didaftarkan, manakala kelahirannya pula tidak melalui prosedur sewajarnya.

Sebagai rekod Yusri dilahirkan di rumah saja dan dia membesar di sebuah kampung di Puchong, Selangor, sebelum mengikut ayahnya berpindah ke Port Dickson, Negeri Sembilan, pada awal tahun ini.

Apabila hilang tempat bergantung secara mengejut, dia dibawa keluarga bekas isteri pertama ayahnya tinggal bersama mereka di Teluk Intan, Perak.

Ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Haslinda, 48, berkata dia dan anak-anaknya mengambil tanggungjawab untuk menjaga serta membesarkan Yusri yang kini yatim piatu.

Menurut maklumat yang diketahui jelasnya, bekas suami Haslinda itu gagal menguruskan pendaftaran Yusri sebaik kanak-kanak terbabit lahir pada 2015 atas faktor-faktor tertentu.

“Kami dimaklumkan alasannya ialah kerana mereka mengalami kesusahan hidup pada ketika itu.

"Pada awal tahun ini ayah Yusri memang ada mula mengusahakan pendaftaran kelahiran itu tapi kami tidak pasti sejauh mana proses itu berjalan.

“Selepas kematian bapa Yusri, kami dapati ada beberapa salinan dokumen seperti borang pendaftaran kelahiran, akuan bersumpah saksi dan laporan polis berkait kelahiran Yusri yang dibuat arwah ayahnya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Atas rasa tanggungjawab

Kes kanak-kanak tanpa dokumen seperti dialami Yusmi memang bukan kes terpencil berdasarkan realiti ia memang dialami oleh ramai orang.

Bagaimanapun penyelesaiannya agak rumit kerana perlu melalui prosedur-prosedur ketat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sementara itu Haslinda yang bekerja sebagai usahawan kecil berkata, dia kini buntu kerana tidak arif mengenai prosedur untuk mendaftarkan taraf kewarganegaraan Yusri.

“Saya difahamkan prosesnya tidak mudah dan kami berharap ada mana-mana pihak yang boleh membantu menguruskan dan mempermudahkan masalah ini khususnya agensi kerajaan yang berkaitan.

“Anak-anak saya adalah adik-beradik sebapa dengan Yusri. Walaupun saya sendiri tiada hubungan secara langsung dengannya sudah tentu saya rasa bertanggungjawab untuk turut menjaga Yusri memandangkan dia adalah adik kepada anak-anak saya,” katanya.

Sementara itu Haslinda berkata Yusri ada menyatakan hasrat untuk bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Justeru wanita terbabit dan anak-anaknya bertekad mahu memastikan Yusri mendapat pendidikan sebaik mungkin.

"Kami akan pastikan keperluannya mencukupi dan insya-Allah saya jaga seperti menjaga anak kandung,” ujarnya.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi Malaysiakini menyatakan komitmen untuk membantu keluarga itu khususnya Yusri.

“Insya-Allah saya uruskan, sekarang masih mengerjakan umrah,” katanya ringkas pada awal minggu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS