Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman terhadap MP Kepong: Pampasan RM2 juta untuk cegah kenyataan tak sahih - hakim

Mahkamah sivil berkata pampasan RM2 juta yang perlu dibayar Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng bertujuan untuk tidak menggalakkan kenyataan yang tidak wajar dan tidak disahkan dalam era media sosial semasa.

Dalam alasan penuh penghakiman dalam saman fitnah oleh MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Jessy Lai terhadap ahli parlimen DAP itu, hakim Akhtar Tahir berkata bahawa defendan mesti lebih bertanggungjawab dalam ucapan dan tindakannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata bahawa kenyataan Lim menjejaskan reputasi kedua-dua plaintif.

“Mahkamah juga merasakan bahawa dalam kes ini ganti rugi yang diberikan mesti bertindak sebagai pencegahan (deterrance). Ini bukan untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk mematahkan hasrat mana-mana pihak yang membuat kenyataan yang tidak wajar dan tidak disahkan, terutamanya dalam era penggunaan media sosial yang meluas.

“Satu lagi sebab mengapa pencegahan diperlukan adalah hakikat bahawa mahkamah dibanjiri dengan kes yang melibatkan fitnah melibatkan semua lapisan masyarakat dari peringkat tertinggi hingga yang paling rendah.

"(Istilah) 'Jumpa di mahkamah' nampaknya telah menjadi kenyataan fesyen dan bukannya sesuatu yang perlu ditakuti.

“Faktor terakhir yang mengambil kira dalam kes ini ialah defendan tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap tindakannya dan sebaliknya bersikap agresif dalam sikapnya.

“Plaintif dengan berbesar hati bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu tanpa pergi ke perbicaraan penuh dengan hanya memohon maaf, tetapi defendan menolak permintaan ini,” kata Akhtar.

Hakim menambah bahawa kenyataan Lim mengandungi pelbagai dakwaan serius, seperti pemberian sogokan dan wang perlindungan kepada pegawai kerajaan, dan penglibatan dalam aktiviti haram yang menyebabkan beberapa warga China mengalami kerugian kewangan.

Pada 16 Mac, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Lim telah memfitnah MonSpace dan Lai, dan memerintahkan pemimpin DAP itu membayar ganti rugi RM2 juta.

Akhtar kemudiannya juga telah memerintahkan defendan membayar kos RM250,000 dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, Lim sejak itu telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Lim juga memohon Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusan sementara menunggu rayuan itu diselesaikan. Mahkamah Tinggi ditetapkan untuk mendengar permohonan itu pada 22 Mei.

Sebelum ini dilaporkan Lim berjaya dalam usaha kutipan dana awam untuk mengumpul RM2.25 juta untuk kes itu.

Lim diwakili peguam Guok Ngek Seong, manakala peguam Harpal Singh Grewal bertindak bagi MonSpace dan Lai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS