Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penghakiman berbeza tak mencemar keputusan majoriti, kata peguam

Seorang peguam kanan hari ini berkata sesebuah penghakiman berdasarkan majoriti tidak boleh dianggap sebagai lebih rendah berbanding keputusan sebulat suara dibuat oleh panel tiga atau lima orang hakim.

Kata Haniff Khatri Abdulla orang ramai tidak boleh berharap setiap seorang hakim mempunyai pandangan sama bagi sesuatu kes.

"Kita tidak seharusnya melihat penghakiman yang berbeza sebagai mencemarkan keputusan majoriti.

"Hanya kerana terdapat penghakiman yang berbeza pendapat, ia tidak menjadikan keputusan 4-1 sebagai keputusan yang lebih rendah daripada keputusan sebulat suara," katanya.

Haniff Khatri berkata demikian sebagai ahli panel forum awam anjuran Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Dia merujuk kepada keputusan 4-1 oleh lima orang hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan Najib Razak untuk menyemak semula hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan ke atasnya.

Bekas perdana menteri itu sedang menjalani hukuman tersebut selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ketika kesalahan tersebut dilakukan SRC merupakan anak syarikat 1MDB.

Susulan keputusan berkenaan, penyokong Najib serta Umno telah menyifatkan penghakiman berbeza itu sebagai memberikan "harapan baru" untuk bekas presiden mereka dibebaskan dari Penjara Kajang.

Forum awam bertajuk "SPRM, bekas PM dan kebebasan badan kehakiman" turut menampilkan presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah; pakar perlembagaan Prof Shad Saleem Faruqi; dan peguam hak asasi manusia Andrew Khoo.

Semua adalah sama

Penyokong Najib berkata penghakiman berbeza itu datang daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel berkenaan.

Haniff bagaimanapun menegaskan kekananan seseorang hakim dalam sesebuah panel tidak mempunyai peranan dalam mempengaruhi keputusan kerana setiap ahli bebas untuk menulis penghakiman sendiri.

"Kekananan seseorang hakim terhenti di muka kamar perbicaraan. Apabila anda duduk untuk mendengar sesuatu kes, anda semua adalah sama.

"Anda bebas untuk menulis penghakiman anda sendiri. Jadi tidak ada yang pelik mengenai hal itu," katanya.

Haniff Khatri seterusnya menjelaskan di sebalik pandangan berbeza itu, Abdul Rahman tidak mempunyai pendapat berlawanan terhadap pandangan majoriti hakim bahawa mereka tidak bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan semasa mendengar perbicaraan Najib.

Sementara itu Cheah - yang mengulangi pandangan Haniff Khatri bahawa Abdul Rahman tidak menyentuh hal berkaitan rayuan utama - menekankan kepentingan "kemuktamadan" dalam mana-mana prosiding undang-undang.

"Untuk membenarkan semakan lain (berdasarkan keputusan Abdul Rahman) boleh menjadi duluan yang berbahaya kerana kita inginkan sesuatu yang muktamad... melainkan ada perkara yang tidak disemak (semasa semakan pertama)," katanya sambil mengakui tiada peruntukan yang melarang semakan kedua difailkan.

Shad Saleem pula berkata Yang di-Pertuan Agong - dalam menyampaikan keputusannya atas nasihat lembaga pengampunan - boleh mengambil kira apa-apa perkara yang berkaitan.

Dalam kes Najib, katanya, perkara itu termasuklah pertuduhan lain yang sedang dihadapi bekas perdana menteri itu di mahkamah.

Shad Saleem berkata tidak seperti dalam bidang kuasa lain apabila pengampunan boleh diberikan sebelum sabitan, keputusan sedemikian adalah tidak berperlembagaan di Malaysia.

Forum petang tadi itu turut dihadiri ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS