Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 50 warga Rohingya diusir dari rumah sebelum Aidilfitri - UNHCR
Diterbitkan:  Apr 19, 2023 3:52 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Lebih 50 warga Muslim Rohingya di sebuah perkampungan luar bandar di Pulau Pinang dipaksa keluar dari rumah mereka seminggu sebelum sambutan Aidilfitri, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Sambil menyifatkan pengusiran warga Rohingya berkenaan pada bulan Ramadan sebagai satu tragedi, UNHCR Malaysia, dalam catatan Facebooknya malam tadi, berkata warga Rohingya yang tinggal di sana selama lebih sedekad telah dipaksa keluar oleh sekumpulan kecil penduduk tempatan.

“Tanpa provokasi, komuniti pelarian dihalau dari rumah mereka.

“Tragedi ini dapat dielakkan sepenuhnya dengan dialog dan persefahaman.

"Pelarian ini adalah mangsa malang kejahilan dan sikap tidak bertoleransi," kata hantaran Facebook itu.

Hantaran itu turut menggambarkan suasana sunyi yang mengelilingi rumah-rumah berkenaan.

Menurut seorang pegawai perlindungan berasaskan komuniti UNHCR, UNHCR berharap pelarian Rohingya berkenaan mendapat tempat selamat dan belas ihsan untuk menelefon ke rumah semasa sambutan Aidilfitri.

UNHCR berada di kampung di Panaga, Pulau Pinang, bersama rakan NGO untuk memahami situasi itu.

“Kami terkejut apabila mengetahui bahawa pada bulan Ramadan yang mulia, yang menekankan nilai empati dan kemurahan hati, lebih 50 kanak-kanak pelarian Islam, ibu bapa dan datuk nenek terpaksa meninggalkan kampung tanpa amaran.

“Jiran tetangga memberitahu kami bahawa masyarakat Rohingya telah tinggal di sini selama hampir sepuluh tahun dan tidak menimbulkan masalah, berintegrasi dengan baik, malah bertutur dalam bahasa Melayu dalam dialek tempatan.

“Lazimnya, ini adalah pengalaman biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal berdekatan dengan pelarian,” katanya.

Agensi Pelarian PBB itu menambah bahawa penyelesaian kepada pergeseran dan perbezaan antara masyarakat boleh dicapai melalui komunikasi dan dialog silang budaya.

Pasukan di lapangan juga melaporkan pertemuan dengan Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad dan Adun Penaga Mohd Yasin Mat Piah untuk membincangkan usaha meningkatkan perpaduan sosial antara komuniti tempatan dan pelarian supaya insiden seperti itu tidak berulang.

Tidak diketahui apakah puncanya dan siapakah kumpulan yang didakwa memaksa pelarian berkenaan keluar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS