Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Remaja bakar anjing dijatuhi hukuman sebatan ringan 7 kali
Diterbitkan:  Apr 19, 2023 2:22 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Branden Yap memukul seekor anjing dengan kayu dan kemudian menggunakan pemetik api untuk membakarnya tetapi peguamnya berhujah bahawa anjing itu sering menyerang remaja itu apabila dia berbasikal di lokasi berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memerintahkan remaja berusia 18 tahun itu, yang mengaku bersalah, dikenakan sebatan ringan tujuh kali di mahkamah terbuka sebagai sebahagian daripada hukumannya.

Sebelum menyampaikan penghakimannya, hakim memutuskan agar klip video yang menunjukkan Yap mendera anjing itu dan membakarnya ditayangkan di mahkamah.

“Tindakan anda adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan yang juga mempunyai hak untuk hidup dengan aman.

“Anda akan disebat ringan tujuh kali dan dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan penjamin RM10,000 akibat daripada tindakan anda,” kata hakim itu, seperti dilapor Star Online.

Hukuman sebatan Yap dijadualkan berlangsung pada 9 pagi pada 21 Mei.

Terdahulu, peguam remaja itu GK Sritharan berhujah bahawa anak guamnya adalah "budak baik" yang telah diserang lebih daripada lima kali oleh anjing itu.

Mengakui anjing itu menjadi mangsa, peguam itu bagaimanapun berkata anak guamnya turut pernah menjadi mangsa anjing itu.

“Dia seorang budak yang baik dan sering berbasikal di lokasi itu, di mana dia sering diserang oleh anjing itu.

“Yap pernah mengalami keretakan jari selepas terjatuh dari basikal akibat dikejar anjing itu sebelum ini. Sehingga kini tangannya masih belum kuat dan tidak boleh melakukan kerja berat,” katanya.

Bertindak untuk mempertahankan diri

Dalam kejadian 27 Mac lalu, Sritharan berkata anak guamnya bertindak mempertahankan diri, membaling anjing itu dengan pasu bunga, batu dan memukul anjing itu dengan kayu sebelum membakarnya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor Mohd Zamri Shak Ishak berkata anjing itu turut mengalami kecederaan.

Pada 13 April, Yap mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kesakitan yang amat sangat kepada seekor anjing betina coklat dengan memukul dan membakarnya.

Di bawah Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mungkin memilih hukuman alternatif apabila pesalah muda disabitkan kesalahan.

Undang-undang juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan supaya pesalah lelaki disebat dengan tidak lebih daripada tujuh sebatan di dalam premis mahkamah dan di hadapan ibu bapa atau penjaga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS