WAWANCARA l Usaha untuk memperuntukkan 35 peratus kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak adalah perlu bagi menegakkan semangat Perlembagaan Persekutuan - yang mengikrarkan perlindungan kepada dua wilayah itu, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini, baru-baru ini, Fadillah menjelaskan ketika Malaysia dibentuk pada 1963, 35 peratus kerusi itu sengaja diperuntukkan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura.
Ini, jelas Fadillah, dengan tujuan Malaya tidak akan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan tanpa persetujuan tiga lagi negeri anggota itu.
Bagaimanapun, selepas Singapura berpisah daripada Malaysia pada 1965, bilangan kerusi bagi Sabah dan Sarawak dikekalkan pada kira-kira 25 peratus sehingga hari ini.
“Tetapi sekarang, jika kerusi-kerusi di Semenanjung Malaysia melebihi dua pertiga, mereka boleh mengundi dan menghapuskan semua hak yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
"Jadi atas semangat (perlembagaan) itulah. Sepatutnya, apabila kita membentuk (Malaysia), kita mesti ada perlindungan itu," katanya.
Sasaran "35 peratus" itu adalah antara kesimpulan utama Majlis Khas Perjanjian Malaysia yang dipengerusikan oleh perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob pada September tahun lalu.
Bagaimanapun, satu-satunya gabungan yang menjanjikan "35 peratus" kerusi pada pilihan raya parlimen 2022 ialah Pakatan Harapan, yang ketuanya, Anwar Ibrahim, kini adalah perdana menteri.
Menurut pengkritik dasar "35 peratus", hakikatnya bahawa penduduk di Sabah dan Sarawak hanya berjumlah satu perenam daripada penduduk negara ini dan dengan itu, tidak sepatutnya menguasai satu pertiga daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat.
Fadillah, bagaimanapun tidak bersetuju bahawa dasar "35 peratus" adalah tidak adil kerana, katanya, Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam banyak aspek, berbanding negeri-negeri di semenanjung.
"Kamu ada segala-galanya di semenanjung. Kamu ada banyak lebuh raya dan jambatan. Semua kemudahan ada di sana.
“Sabah dan Sarawak ketinggalan sedangkan, sebenarnya dari segi ekonomi kita menyumbang begitu banyak.
"Kamu ada Menara Berkembar (Petronas). (Tetapi orang Sarawak) kata sepatutnya ia berada di Sarawak (kerana pengeluaran petroleum kami).
"Jika kamu bercakap tentang keadilan, ia bukan tentang keadilan (sahaja). Ia (juga) mengenai semangat di sebalik pembentukan Malaysia," katanya.
Sasaran "35 peratus" kerusi itu adalah antara perkara yang sedang dibincangkan oleh jawatankuasa pemandu MA63, yang dianggotai Fadillah.
Fadillah berkata majlis itu mencatat kejayaan besar pertamanya pada Januari lalu apabila ia berjaya meyakinkan Putrajaya untuk meningkatkan geran tahunan kepada Sabah dan Sarawak, masing-masing sebanyak RM260 juta dan RM300 juta, untuk lima tahun akan datang.
Geran tahunan ini adalah mengikut mandat di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan sepatutnya disemak setiap lima tahun.
Bagi Sabah, perjanjian ini menggantikan perjanjian yang dicapai tahun lalu antara pentadbiran Ismail Sabri dan kerajaan Sabah - yang meningkatkan pemberian khas tahunan kepada RM125.6 juta.
Bagi Sarawak, pemberian khas itu adalah peningkatan besar iaitu daripada RM16 juta yang diterimanya setiap tahun - jumlah yang tidak berubah sejak 1969.
Namun, kata Fadillah, Sarawak menganggap ini sebagai "bayaran interim" sementara menunggu formula baharu dibincangkan di antara kerajaan negeri Sarawak dan Kementerian Kewangan.
“Tanggungjawab saya (sebagai ketua jawatankuasa pemandu MA63) adalah untuk mendapatkan Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri untuk duduk dan mencapai kata sepakat,” katanya.
Fadillah menambah, keutamaan lain jawatankuasa pemandu itu ialah menurunkan kuasa pentadbiran dalam bidang pendidikan dan kesihatan awam.
Jelasnya, perancangan bersepadu oleh Putrajaya selama beberapa dekad lalu menyebabkan Sabah dan Sarawak ketinggalan dari segi sumber.
“Sebagai contoh, dari segi sumber manusia, apabila terdapat kekosongan di Sabah dan Sarawak, pemprosesan akan dilakukan di Kuala Lumpur.
“Apabila seseorang (dari Semenanjung Malaysia) ditawarkan bekerja di Sabah dan Sarawak, lazimnya mereka akan membuat rayuan kerana tidak mahu berkhidmat di kawasan pendalaman.
"Jadi (untuk pentadbiran) jawatan itu diisi, tetapi orangnya tidak ada di sana. Jika (pengambilan) dikendalikan oleh Sarawak, pemohon akan tahu mereka tiada pilihan. Mereka mesti pergi ke Sarawak dan berkhidmat," katanya.
Andrew Ong menyumbang kepada penulisan artikel ini.
ESOK: Fadillah dedah kenapa GPS berubah fikiran terhadap calon PM