Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berkata Malaysia sedang mengambil langkah untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia sebaik keadaan mengizinkan di Sudan.
Susulan kepada penilaian risiko oleh semua pihak yang berkenaan, rakyat Malaysia yang berada di Kompleks Petronas Khartoum yang menjadi sasaran konflik di Sudan telah berjaya dipindahkan ke tempat yang selamat lewat petang Isnin (waktu Sudan).
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan berkata Malaysia sedang mengambil langkah untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia sebaik keadaan mengizinkan dan memohon kerjasama pihak Sudan bagi menjamin kelancaran usaha itu.
Berikutan dengan situasi yang semakin meruncing dan susulan kepada laporan berkenaan “pengambilan paksa” kompleks itu yang turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia, Duta Besar Sudan di Kuala Lumpur akan dipanggil bagi menyuarakan pandangan Malaysia dalam konflik terbaru.
“Selain itu, Malaysia juga menyampaikan bantahan ke atas tindakan pihak-pihak tertentu yang telah menceroboh kompleks berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negara (KLN) pada petang Selasa.
Pertempuran meletus pada Sabtu antara tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum dan kawasan sekitarnya. Lebih 180 orang terbunuh manakala 1,800 cedera dalam pertempuran itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Zambry juga berkata bahawa krisis di Sudan turut memberi kesan kepada semua pejabat kedutaan asing dengan terdapat laporan serangan yang dilakukan ke atas Duta Besar Kesatuan Eropah ke Sudan, rakyat Jepun dikasari, kenderaan Diplomatik Amerika Syarikat ditembak dan kediaman rasmi Duta Besar Kuwait ke Sudan diceroboh.
Beliau menekankan yang keselamatan kesemua rakyat Malaysia di Sudan menjadi keutamaan kerajaan dengan Pasukan Khas yang diketuai oleh KLN telah merangka pelan evakuasi untuk membawa pulang 32 rakyat Malaysia berdasarkan data terkini yang dikongsikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.
Pelan evakuasi itu akan dilaksanakan serta-merta bersama negara-negara sahabat sebaik sahaja ada peluang berbuat demikian.
Zambry juga memohon kerjasama semua, andai ada lagi ahli keluarga yang berada di Sudan tetapi masih tidak menyatakan keberadaan mereka atas kekangan jalinan komunikasi untuk segera berbuat demikian kerana ia penting bagi perancangan evakuasi kelak.
- Bernama