Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taman Rimba Kiara: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan DBKL

Mahkamah tertinggi negara menolak rayuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tiga yang lain untuk mengembalikan semula perintah pembangunan (DO) yang kontroversi di beberapa bahagian Taman Rimba Kiara.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan P Nallini pagi ini sebulat suara menafikan rayuan itu.

Mereka juga mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2021 yang membenarkan 12 penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mengetepikan DO tersebut.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama Nallini ialah Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Rhodzariah Bujang.

Sebelum ini, Persatuan Penduduk TTDI menganggap keputusan Mahkamah Rayuan lebih dua tahun lalu itu sebagai kemenangan besar dalam usaha memelihara taman awam berkenaan.

DO berkenaan dikeluarkan oleh DBKL pada 13 Julai 2017 untuk projek pembangunan lapan blok pangsapuri perkhidmatan mewah, selain pangsapuri 29 tingkat - terdiri daripada 350 unit rumah mampu milik yang akan dibina di atas tanah tersebut.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Nallini berkata DO berkenaan harus diketepikan kerana terdapat konflik kepentingan apabila “Datuk Bandar” (DBKL) menjadi ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan yang merupakan salah seorang empat perayu hari ini.

Selain DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan, dua lagi perayu ialah pemaju projek terbabit, Memang Perkasa Sdn Bhd (Memang Perkasa), dan sebuah persatuan yang mewakili penduduk rumah panjang di Taman Rimba Kiara.

Nallini berkata apabila yayasan itu menjalin usaha sama dengan Memang Perkasa sebelum pemberian hak milik tanah itu, Datuk Bandar mengetahui - daripada Rancangan Struktur KL 2020 - bahawa penggunaan tanah itu adalah sebagai kawasan hijau untuk kegunaan awam.

Dia menegaskan pemberian hak milik tanah kepada yayasan sempena perjanjian usaha sama itu akan memerlukan perubahan dalam penggunaan tanah kepada pembangunan bercampur, tetapi tiada pematuhan kepada Akta Wilayah Persekutuan dari segi perubahan atau pindaan kepada Rancangan Struktur KL 2020 dalam hal tersebut.

“Oleh itu Datuk Bandar memakai tiga 'topi' dalam tiga kapasiti: Datuk Bandar adalah sebahagian daripada entiti yang meluluskan pemberian hak milik tanah subjek; Datuk Bandar juga merupakan sebahagian daripada pemohon kebenaran merancang iaitu yayasan kerana ia merupakan ahli lembaga pemegang amanah yayasan; dan Datuk Bandar juga merupakan entiti yang memberikan perintah pembangunan yang dipertikaikan,” katanya.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS