MALAYSIANSKINI | Penduduk Orang Asli dari Kampung Pos Lanai di Kuala Lipis hadir di Mahkamah Tinggi Temerloh minggu lalu (April 10) untuk perbicaraan kes sivil melawan Putrajaya dan kerajaan Pahang.
Mereka memfailkan kes mahkamah untuk menentang apa yang mereka lihat sebagai pencerobohan ke atas tanah mereka oleh kerajaan pusat dan negeri.
“Hari ini, kita beranikan diri untuk bercakap di mahkamah,” kata pengerusi Jawatankuasa Kerja Tanah dan Kawasan Orang Asli Pos Lanai Jeffry Hassan di luar mahkamah.
Ini bukan kali pertama lelaki berusia 36 tahun itu tampil ke hadapan untuk melindungi kampungnya.
Pada tahun 2019, dengan pimpinan Jeffry, komuniti itu berjaya melawan projek Empangan Telom. Pada tahun itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek yang dijangka menenggelamkan kampung mereka.
Keputusan itu diambil setelah penduduk Pos Lanai berjaya mendapatkan injunksi ke atas projek tersebut, dan setelah Jeffry menghantar memorandum bantahan kepada menteri ketika itu, Yeo Bee Yin. Pembatalan projek itu diumumkan pada tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.
Sejak itu, komuniti Pos Lanai juga telah berhasil mengusir pembalak haram dan pihak yang datang ke kampung mereka untuk membuat survei perlombongan. Baru-baru ini, mereka mula bergerak untuk melawan perancangan untuk perlombongan nadir bumi, bersaiz 924 padang bola, berdekatan kampung mereka.
Pada tahun 2020, ketika sekatan pergerakan Covid-19 dilaksanakan, Malaysiakini melawat Pos Lanai untuk melaporkan isu pertembungan haiwan liar dan manusia, yang menyebabkan kekurangan makanan di kampung itu.
Di sana, Jeffry menceritakan kisah mereka melawan projek pembinaan Empangan Telom dan lain-lain pencerobohan.
Temuramah tersebut disiarkan hari ini, seiring kes sivil Pos Lanai yang sedang berjalan.
Ini kisah Jeffry, dalam kata-katanya sendiri (disunting untuk kejelasan, keringkasan dan kemudahan membaca).
SAYA BERUMUR 25 TAHUN, tinggal dan bekerja di Kuala Lipis pada tahun 2012, ketika saya dengar ada empangan yang akan dibina dekat kampung saya, Pos Lanai. Saya rasa macam saya sendiri nak membantu komuniti saya sendiri.
SAYA TAK BOLEH TOLAK apabila mereka lantik saya sebagai pengerusi, sebab di sini yang berpelajaran tinggi, dan bekerja dengan kerajaan, mereka tidak bersama komuniti. Setakat hari ini, komuniti yang lama ini yang lebih ke hadapan untuk melawan.
SEBELUM KAMI TAHU TENTANG EMPANGAN, ada projek penempatan baru di mana penduduk Kampung Pos Lanai di pindah dari sini ke penempatan baru (Kampung Pantos). Sekolah telah dipindahkan ke Kampung Pantos jadi yang ada anak bersekolah ambil keputusan untuk pindah. Mereka diberitahu, Orang Asli boleh ulang-alik dari Kampung Pantos untuk mengambil hasil getah dan sebagainya, jadi penduduk anggap Kampung Pantos macam rumah transit. Tapi selepas itu kita dapat tahu ada projek empangan yang nak dibuat.
SAYA ANGGAP PEMINDAHAN ITU SATU PENIPUAN. Semua dah pindah baru kita dapat tahu ada perancangan nak buat projek. Saya anggap (pihak berwajib) tak telus. Dia tak bincang dengan Orang Asli, dia buat secara sulit.
KAMI BINCANG DAN PUTUSKAN UNTUK TULIS SURAT kepada agensi yang berkaitan seperti kerjaan negeri, TNB (Tenaga Nasional Berhad) pusat dan TNB negeri. Tapi tiada maklum balas kecuali dari TNB pusat. Mereka terangkan kebaikan projek itu, tapi tak menerangan keburukkannya kepada komuniti.
Komuniti rasa sedih apabila dapat jawapan macam itu. Jadi selepas itu kita putuskan untuk hantar surat ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Ketika itu Najib Abdul Razak perdana menteri. Tapi dia tak datang jumpa kami dan kami serahkan surat ke pegawai dia sahaja.
TIADA MAKLUMBALAS JUGA dari Pejabat Perdana Menteri. Dalam masa sama, TNB mula membuat survei atas tanah kami untuk menjangka kos pampasan. Ada juga pengkaji lain pergi rumah ke rumah untuk survei tentang penerimaan komuniti atas projek ini tapi kami lihat mereka lebih seperti menipu orang kampung.
KEADAAN JADI TEGANG apabila kami cuba menghalang kakitangan yang membuat survei tersebut. Mereka bawa polis dan polis kata kami tak boleh halang kerja mereka. Saya kata kalau pihak polis nak halang saya, saya akan saman polis. Saya macam hilang sabar masa itu. Selepas itu polis dah jadi lain. Mereka menjadi lebih tenang dan berkata polis tidak menyebelahi siapa-siapa.
DALAM PENENTANGAN ORANG ASLI LAIN, ada blockade dan pergelutan fizikal, tapi komuniti Pos Lanai tak bersetuju cara ini. Bukan semua penduduk menentang projek ini jadi jawatankuasa, kami tak mahu nanti ada pergaduhan atau kes tangkap. Maka, saya terpaksa bergerak perlahan-perlahan dan mencari jalan lain, seperti fail kes di mahkamah dan hantar memorandum kepada agensi berkaitan.
SAYA TAK BELAJAR TINGGI tapi saya banyak rakan NGO dan parti politik. Walaupun saya kekurangan ilmu, saya berpandangan luas. Contohnya, saya fikir, ‘Oh, orang ini kita boleh guna orang ini untuk sebar isu ni ke luar.’ Ada yang tolong sebar ke media sosial dan Malaysiakini dan media lain pun membantu. Kalau tak ada media, orang luar takkan tahu isu ini.
Saya ada seorang rakan dari Cameron Highlands bernama Encik Suresh (Kumar Balasubramaniam) dari PSM. Dia membantu saya dari awal sampai akhir dari segi surat-menyurat dan fail kes di mahkamah (melawan projek Empangan Telom). Tak dapat saya balas budi dia.
KAMI FAIL KES KAMI DI MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR dan saya salah seorang plaintif. Kami menang (injuksi) untuk memberhentikan kerja-kerja TNB di sini. Selepas itu, TNB mohon pindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Temerloh. Kami risau Mahkamah Temerloh akan berpihak pada TNB.
KAMI BERJAYA selepas pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum ke-14. Masa kempen PRU14, saya banyak terlibat dengan parti-parti politik seperti Pakatan Harapan (PH) dan PSM, jadi banyak rakan-rakan PH bantu saya, dari segi beri pandangan, terima pandangan kami, dan hantar surat kepada mereka yang berkuasa.
Bila mereka jadi menteri, kita mudah berjumpa. Masa tu Yeo jadi menteri dan saya hantar surat kepada dia di Parlimen. Bila dia terima dia kata, “Okey, kita akan cuba batalkan projek ni.”
Tak lama lepas tu, pilihan raya kecil Cameron Highlands berlaku dan dia datang ke Kampung Pantos untuk mengumumkan projek empangan dibatalkan. Penduduk gembira lah.
SAYA TAK ANGGAP DIRI SAYA HERO, tapi komuniti adalah hero. Saya anggap is satu kebanggaan besar tapi pada asasnya, saya rasa biar saya bagi komuniti yang bangga untuk diri mereka, sebab tanpa sokongan komuniti, tiadalah saya.
Memang perjalanannya panjang, dan memang saya rasa macam tak berjaya, tapi kita serah pada Tuhan untuk menentukan. Macam orang Melayu kata, alhamdulillah, dah berjaya.
SAYA MEMANG RASA SUSAH perjalanannya sebab saya tak ada pengalaman untuk buat surat-menyurat semua. Saya bukan belajar tinggi. Tapi saya anggap tak apa lah, biar saya cuba. Saya tetap teruskan perjuangan saya atas dasar semangat orang kampung. Bila orang kampung dah bagi satu harapan, terpaksa teruskan.
Dulu saya sekolah, cikgu saya kata, “Awal kena pandai membaca. Walaupun tak cerdik, tapi kena pandai membaca. Nanti satu hari kalau ada orang luar hantar surat, kalau awak tak tahu membaca nanti susah.” Saya selalu ingat apa dia cakap sampai sekarang. Betul apa dia cakap.
SAYA TAK BOLEH LEPASKAN PERJUANGAN kerana kehidupan kami terikat pada tanah dan sumbernya. Kalau kita kehilangan tanah, apa akan jadi pada generasi sekarang dan akan datang? Tanah ni berganti-ganti dari generasi yang sekarang ke seterusnya.
PROJEK EMPANGAN MENYEBABKAN KOMUNITI RENGGANG. Ramai juga yang sokong sebab percaya janji-janji manis TNB. Sampai ke hari ini, komuniti sudah tidak sama. Ada yang masih bermasam-muka dengan yang lain.
Ada yang kata kita patut lawan kerajaan sebab kerajaan banyak bantu kita. Ada yang menyokong sebab pampasan yang dijanjikan tinggi. Tapi mereka tak sedar yang akan hilang lebih besar lagi.
Saya tak fikir macam itu. Saya fikir tentang hak kita dan untuk generasi akan datang, di mana mereka akan hidup. Jadi saya rasa perjuangan ini berbaloi.
JAWATANKUASA KAMPUNG BANTU PENDUDUK PERTAHANKAN KAMPUNG. Ada berlaku komuniti pergi meronda kawasan dia dan nampak air sungai keruh. Dia buat aduan pada jawatankuasa bertindak dan jawatankuasa buat tinjauan. Kami nampak memang ada bulldozer tolak tanah ke sungai jadi kami halau pembalak itu.
Pembalakan itu tiada permit. Ikut pengalaman saya, mula-mula pembalak akan buat jalan rintis dulu dan lepas dah buat jalan dia akan mohon lesen dari kerajaan negeri. Jadi sebelum mereka mohon, kami laporkan ke Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan kementerian terus ambil tindakan.
Kami jua ada buat pemetaan kawasan. Jadi kita ronda kawasan yang kita panggil hutan rayau. Hutan rayau ini kita guna untuk cari hasi hutan. Bila orang kampung berjalan di sekitar kawasan dia pantau jika ada apa-apa isu, seperti pembalakan atau perlombongan.
Untuk masuk ke kampung, kena jumpa ketua kampung dulu. Ada sekali kami nampak orang luar cuba masuk untuk buat survei. Kami halang mereka dan buat laporan polis. Macam itulah kami lindungi kampung.
ADA ORANG BERANGGAPAN ORANG ASLI LEBIH BAIK TINGGALKAN HUTAN dan tinggal di bandar. Tapi kalau saya duduk di bandar pun, lepas pencen saya nak balik kampung juga. Kalau ada empangan ke pembalakan, tak ada kampung dah.
Ekonomi kami pun terjejas akibat pembalakan. Saya bela ikan di kolam, tapi kebanyakkan penduduk sini lebih kepada menoreh getah, cari rotan dan bila musim buah, jual buah durian. Kalau ada pembalakan atau perlombongan, ini semua terjejas.
ISU TERBARU SINI NAK BUAT LOMBONG (nadir bumi). Katanya kawasan tu akan seluas 60 hektar. Mula-mula dia balak, lepas tu dia korek, kalau ada jumpa hasil lagi, tambah lagi keluasan.
Kalau pelombongan itu di hulu sungai, ia betul-betul akan menjejas sungai. Yang terjejas bukan sahaja Orang Asli sebab sungai disedut untuk loji air (Pengurusan Air Pahang Berhad). Dulu pun dan ada kes Orang Asli mati akibat minum air yang dikata tercemar dari perlombongan (di Gua Musang, Kelantan).
Mereka yang buat projek-projek ini tahu apa akan terjadi tapi dia nak tengok Orang Asli lawan ke tidak. Kalau tak lawan, dia akan teruskan.
RASA PENAT, PENAT JUGA tapi walau macam mana pun kena lawan juga. Setakat ini, belum ada lagi sesiapa yang boleh ganti saya sebagai pengerusi jawatankuasa, jadi saya teruskan.
Ada ramai anak muda Orang Asli yang bangkit mempertahankan hak kami. Mereka melawan pembalakan, atau di Perak dan Kelantan, melawan empangan besar. Kalau mereka minta bantuan atau pandangan, saya sedia membantu.
HARAPAN SAYA UNTUK TIGA ANAK SAYA dan kanak-kanak lain di kampung ini, adalah untuk mereka terus tinggal di ini dan teruskan perjuangan melindungi kampung. Perjuangan ini bukan untuk hari ini sahaja, ia mesti berterusan.
Pengalaman kanak-kanak Orang Asli sekarang jauh berbeza dengan zaman kanak-kanak saya. Dulu, kita seronok bermain-main di kampung. Sekarang, kanak-kanak lebih terdedah pada isu sosial di luar. Contohnya, budak-budak pun pandai hisap rokok.
BUDAYA ORANG ASLI MULA HILANG apabila ada penempatan baru, tapi ramai Orang Asli percaya mereka terpaksa pindah untuk pendidikan anak-anak.
Anak-anak saya balik kampung bila cuti sekolah dan hujung minggu. Terpulang pada kita, ibu bapa, cara kita didik anak kita. Kita kena ajar adat.
Contohnya, dari segi bahasa, anak-anak saya guna bahasa Melayu apabila berinteraksi dengan guru tapi dengan murid Asli, mereka guna bahasa Orang Asli.
PEMINDAHAN ORANG ASLI TAK SESUAI DENGAN ADAT RESAM KAMI. Kami percaya Orang Asli tidak boleh tinggal berkumpul di satu tempat. Ramai juga yang sakit terus mati setelah berpindah.
Pihak hospital kata mati sebab lemah jantung dah sebagainya, tapi kami percaya jika tinggal berkumpul, kawasan itu menjadi ‘panas’ dan akan menyebabkan penyakit dan kematian. Sepatutnya, pihak berwajib perlu tahu adat resam kami (dalam menggubal dasar pemindahan) tapi tidak.
ORANG ASLI TAK MINTA APA-APA DARI ORANG LUAR. Kami hanya nak hidup di tempat kami. Orang Asli mahukan pembangunan di tempat sendiri. Bina sekolah atau klinik di kampung, bukan hantar kami ke tempat lain. Itu satu pembunuhan kepada Orang Asli.
MALAYSIANSKINI adalah siri artikel mengenai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.