Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar akan berdepan Dr M di mahkamah
Diterbitkan:  Apr 17, 2023 8:22 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Dr Mahathir Mohamad akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan menuduh bekas perdana menteri itu mengumpul kekayaan peribadi semasa berkuasa.

"Tun (Mahathir) telah mengarahkan kami untuk meneruskan tindakan di mahkamah. Ini membuktikan bahawa Anwar tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataannya.

“Bagi Tun, ia adalah pembohongan oleh perdana menteri,” kata peguam Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali, dalam mesej teks kepada Malaysiakini.

Surat bertarikh hari ini (17 April) dan dihantar peguam Anwar, Aliff Benhamin Suhaimi, menyatakan Anwar menafikan semua dakwaan Mahathir.

“Untuk makluman, kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menafikan semua dakwaan dan kandungan dalam surat anda.

"Dalam hal ini, anak guam kami bersedia untuk menjawab sebarang dakwaan - jika ada - di mahkamah dan bukan melalui surat-menyurat jika anak guam anda mahu meneruskan tindakan undang-undang," kata surat itu.

Mahathir menghantar surat tuntutan kepada Anwar pada 27 Mac, menuntut pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menarik balik dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac.

Sekiranya Anwar gagal menjawab surat itu, Mahathir berkata, dia akan meneruskan tindakan undang-undang.

Tarikh akhir Anwar untuk menjawab surat undang-undang Mahathir ialah 3 April, tetapi ia ditangguhkan ke hari ini selepas peguam Anwar meminta dilanjutkan.

Anwar tidak menyebut nama Mahathir tetapi merujuk tempoh pemerintahannya dengan berkata: "Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi berkuasa, sekarang mengeluh."

"Melayu hilang segala-galanya? Hilang harta, hilang saham. Bagaimana saja hilang kalau kamu bolot untuk keluarga dan anak-anak kamu?

"Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat. Jangan perbodohkan rakyat. Rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka.

"Kumpulkan.. tonton... Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, berapa kerap orang sekarang merencana untuk mengugat dan menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu membenci kepada kaum-kaum lain dan menyatakan kuasa hilang," dakwa Anwar.

Mahathir mendakwa ini adalah rujukan yang jelas kepadanya kerana laporan media mengenai ucapan itu menyebut namanya.

Pada 7 April, Anwar berkata dia tidak ragu-ragu untuk memberikan bukti kepada Mahathir untuk menyokong dakwaannya.

"Saya tak nak gaduh, dia minta bukti saya bagi bukti no problem," kata Anwar semasa sesi dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pada majlis yang sama, Anwar juga telah membidas Mahathir, dengan menyatakan bahawa walaupun tadbir urus Mahathir mempunyai kekuatan, dia juga telah menyebabkan banyak kerosakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS