Kerajaan perpaduan lebih mantap jika veteran DAP, Lim Kit Siang "tutup mulut" mengenai Najib Razak dan bersara sepenuhnya daripada politik, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.
"Semalam Lim Kit Siang ubah cerita. Dia yakin Najib tidak mampu kembalikan kegemilangan Umno. Sehari sebelum itu dia dakwa kerajaan perpaduan akan runtuh jika Najib diampunkan.
"Sebenarnya dia suka Najib dipenjarakan. Dia eksploit isu kleptokrasi tetapi membisu kes rasuah banglo anaknya.
“Dia gembira anaknya lepas kerana Tommy Thomas buang kes," kata Puad merujuk kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng yang digugurkan pada 2018.
Mohd Puad berkata demikian sebagai mengulas beberapa kenyataan pemimpin veteran DAP itu termasuk isu pengampunan diraja untuk Najib.
Terdahulu hari ini Lim berkata kenyataan yang dibuatnya mengenai isu pembebasan Najib bertujuan untuk melihat Umno menjadi lebih kuat berbanding PAS dan Bersatu.
Kata Lim, Umno perlu mengembalikan kebebasan badan kehakiman dan memberikan keutamaan kepada usaha memerangi rasuah sebagai keutamaan.
“Saya tidak percaya yang pengampunan Najib Razak boleh membawa nafas baru kepada Umno selepas kekalahan parti tersebut dalam dua PRU yang lepas, bukan kerana saya takutkan Najib," kata Lim.
Mengulas lanjut, Puad berkata, Lim adalah seorang yang hipokrit apabila membisu mengenai kes mahkamah membabitkan anaknya.
"Kerajaan perpaduan lebih mantap jika Lim Kit Siang tutup mulut dan bersara sepenuhnya.
"Dia pembawa aliran lama DAP yang tidak disukai orang Melayu. Biar Anthony Loke buat kerja," katanya.
DAP tak belajar kesilapan lalu
Tambahnya lagi, bukan Umno yang sepatutnya belajar daripada kesilapan lalu, sebaliknya DAP.
"DAP yang tidak belajar kesilapan lalu. DAP bersekongkol dengan kerajaan Tun M (Dr Mahathir Mohamad) yang gagal tunai janji termasuk memerangi rasuah," katanya.
"Kini seorang menteri DAP disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Dua pegawainya ditahan kerana rasuah. Baru lima bulan jadi menteri. Kenapa Kit Siang dan DAP membisu?.
"Baru lima bulan sudah buat hal. Itu yang akan meruntuhkan kerajaan perpaduan,” kata Puad.