Paling Popular
Terkini

Tiada keperluan untuk Menteri Sumber Manusia V Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

“Dalam kes khususnya menteri sumber manusia V Sivakumar, itu tak wajar kita berikan apa-apa telahan selain daripada kenyataan yang beliau dipanggil untuk berikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh SPRM,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dia berkata demikian selepas melancarkan karya agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Anwar siasatan yang sedang berjalan itu adalah sebahagian daripada proses yang perlu dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa terbabit.

"Itu serah kepada SPRM. Kemudian kalau tak ada pendakwaan… kalau ada pendakwaan itu dia lainlah,” katanya.

Semalam, SPRM telah memanggil Sivakumar untuk merekodkan kenyataannya kepada penyiasat berhubung siasatan rasuah terhadap kelulusan pekerja asing.

Dia dilaporkan pergi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi untuk menjawab soalan berhubung kes yang setakat ini menyaksikan dua pembantunya itu ditahan.

Anwar berkata, apa yang menjadi keutamaannya adalah soal tatakelola membanteras rasuah.

“Kita tegas dan tidak peduli dia menyinggung siapa, dari sosok mana, dari parti mana, itu pendirian kita,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke juga berkata belum ada arahan untuk menteri sumber manusia itu bercuti.

Loke berkata Sivakumar hanya memberi kerjasama kepada SPRM dalam siasatan rasuah mereka mengenai kelulusan pekerja asing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS