Menteri Sumber Manusia V Sivakumar hari ini menafikan rumah dan pejabatnya digeledah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan portal media tertentu.
Penafian itu dibuat Sivakumar ketika dia ditemui media di Putrajaya.
“Tidak, tidak, tidak, “ katanya ringkas.
Terdahulu ahli parlimen Batu Gajah itu ditanya mengenai laporan sebuah portal berita yang mengatakan SPRM membuat penggeledahan selepas dia memberi keterangan kepada agensi antirasuah tersebut semalam.
Untuk rekod, SPRM menyerbu pejabat Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pada Khamis dan seorang pegawai kanan Sivakumar turut ditahan.
Sehari kemudian, agensi antirasuah itu menahan setiausaha sulit Sivakumar pula dan dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.
Menjelaskan perkembangan siasatan itu hari ini, Sivakumar berkata dia tidak ditahan oleh SPRM semalam sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan.
"Biar mereka buat siasatan. (Dakwaan ini) masih dalam siasatan. Apa-apa kami akan memberi kerjasama penuh, itu saja.
"Saya tidak ditahan. Hanya memberi keterangan sahaja. Saya akan bagi kerjasama," katanya.
Semalam Sivakumar hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan.
Sementara itu, satu sumber SPRM memberitahu Malaysiakini memang tiada serbuan atau penggeledahan dibuat ke atas rumah dan pejabat Sivakumar.
"Kami hanya melawat rumah dan pejabat YB, tapi tidak menggeledah," katanya.
Sumber itu juga mengesahkan Sivakumar hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.
"Menteri dan seorang kanan beliau diminta hadir untuk memberi keterangan.
"Menteri berada di pejabat SPRM lebih 10 jam. Namun, saya tidak pasti sama ada dia memberi keterangan untuk 10 jam atau atas urusan lain," kata sumber itu.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk pengesahan dan butiran lanjut mengenai perkara itu.