Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bangladesh gesa k’jaan selesai isu pekerja ke M’sia tanpa pekerjaan
Diterbitkan:  Apr 16, 2023 4:25 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Suruhanjaya Tinggi Bangladesh menyifatkan proses kelulusan kerajaan untuk pengambilan pekerja asing kurang telus.

Dalam hantaran di Facebook semalam, suruhanjaya tinggi itu mengadu bahawa proses itu telah menyebabkan pekerja asing yang tiba di Malaysia dibiarkan menganggur.

Ia menegaskan tanggungjawab Jabatan Tenaga Kerja, di bawah Kementerian Sumber Manusia, untuk memastikan hak undang-undang semua pekerja domestik dan asing terjamin.

“Tidak mungkin mana-mana kedutaan negara mengesahkan permintaan pekerja (pekerja asing) sehingga 100 peratus. Dalam kes ini, pihak kedutaan mesti bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa Malaysia.

“Ini terpakai kepada kedutaan semua negara sumber, termasuk Bangladesh.

“Kira-kira 95 peratus daripada kes, Kedutaan Bangladesh mengesahkan tuntutan melalui dokumen berkaitan, sama ada kelulusan pelbagai pihak berkuasa Malaysia adalah betul atau sebaliknya.

“Baki lima peratus kes disahkan oleh pihak kedutaan yang melawat pejabat majikan tapak projek,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya ia adalah tidak praktikal bagi kedutaan Bangladesh untuk membuat lawatan ke tapak seperti yang disebutkan itu kerana ia akan melambatkan proses ketibaan pekerja di negara ini.

Kedutaan Bangladesh ‘diberi amaran’

Mengakui bahawa langkah untuk mengesahkan supaya mendapat majikan yang sahih, agar dapat mengurangkan risiko pengangguran pekerja Bangladesh, suruhanjaya tinggi itu mendakwa kerajaan Malaysia telah memberi amaran kepada Kedutaan Bangladesh supaya tidak turun padang untuk memeriksa tapak projek.

Ia mendedahkan surat diplomatik yang dihantar kepada kedutaannya, dengan menyatakan hanya Jabatan Tenaga Kerja Malaysia mempunyai bidang kuasa tunggal untuk memeriksa syarikat tempatan.

“Isu ini telah dibincangkan secara meluas, dalam mesyuarat dua hala baru-baru ini semasa lawatan menteri dalam negeri (Saifuddin Nasution Ismail) ke Bangladesh.

“Ia menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk memastikan ketepatan permintaan pengambilan pekerja, yang telah dijamin oleh wakil daripada Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Bagaimanapun, suruhanjaya tinggi itu berkata amaran kerajaan tidak menghentikan pemeriksaan di kawasan tapak sebagai usaha untuk melindungi pekerja Bangladesh.

Sementara itu, Putrajaya telah memaklumkan Bangladesh bahawa ia telah mengambil pelbagai langkah untuk menambah baik pengurusan dan pengambilan pekerja asing.

“Suruhanjaya Tinggi Bangladesh memuji usaha dan rancangan kerajaan semasa Malaysia dan menteri-menteri kementerian yang berkaitan untuk memastikan pembangunan dan ketelusan yang lebih baik dalam sistem lama mengambil pekerja asing,” kata suruhanjaya tinggi itu.

Ia susulan beberapa kumpulan pekerja asing dibiar tanpa pekerjaan, sehingga ada yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tidak diberikan pekerjaan selepas tiba di negara ini.

Kes terbaru membabitkan lebih 200 pekerja asing warga Bangladesh dan Nepal terkandas di rumah transit selama 40 hari di Nilai, Negeri Sembilan dan masih belum diberi pekerjaan.

Dalam serbuan pada 10 April lalu, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata pekerja tersebut hidup dalam asrama seperti “tin sardin” di rumah penginapan haram untuk pekerja.

Sejak itu, mereka telah dipindahkan ke Penginapan Berpusat Pekerja (CLQ) berdekatan di mana mereka akan diberikan makanan dan tempat tinggal yang sesuai.

Sivakumar menambah, 226 pekerja itu adalah sebahagian daripada pengambilan 608 pekerja untuk tiga syarikat dalam sektor perkhidmatan kebersihan dan 390 pekerja untuk sebuah syarikat dalam sektor pembuatan.

Ini adalah daripada kuota 1,719 pekerja asing yang diluluskan untuk syarikat-syarikat ini.

Bagaimanapun, 327 pekerja masih tidak bekerja, dan 281 lagi pekerja telah ditempatkan di sektor di mana pekerja asing tidak dibenarkan bekerja.

Dalam satu kenyataan kemudian, kementerian berkata ia akan mencari pekerjaan untuk 327 pekerja itu bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia, di mana ia akan memberi kesan buruk kepada indikator buruh paksa Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS