Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin nafi ada kaitan dengan lelaki ditahan buat kenyataan perkauman
Diterbitkan:  Apr 15, 2023 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Ahli Parlimen PN Saifuddin Abdullah menafikan menafikan ada kaitan dengan seorang individu yang ditahan atas dakwaan membuat hantaran bersifat perkauman di media sosial.

Saifuddin yang juga pengerusi PN Pahang berkata, laporan telah dibuat oleh setiausaha politiknya, Mohd Hafeez Mohd Yunus Balai Polis Presing 7 Putrajaya berkenaan perkara itu, hari ini.

"Tujuan saya membuat laporan polis adalah bagi membersihkan nama saya dan memastikan prinsip keadilan ditegakkan.

"Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat tentang perkara ini dan saya percaya pada integriti dan kewibawaan pihak berkuasa untuk memastikan fitnah tidak berleluasa.

"Pada masa sama saya telah mengambil tindakan awal untuk memelihara hak saya di sisi undang-undang terhadap penyebar fitnah sama ada secara individu mahupun mewakili mana-mana organisasi," kata ahli parlimen Indera Mahkota itu di Twitter.

Dia mengulas beberapa hantaran media sosial yang mengaitkannya dengan individu tersebut, bernama Roslizal Razali, dan seorang lagi yang dikenali sebagai "Datuk Arshad" yang didakwa menjadi orang tengah mereka.

Saifuddin juga menyangkal dakwaan yang dia memberi wang kepada lelaki itu menerusi Arshad untuk membuat hantaran menyerang kerajaan di media sosial.

Roslizal, 46, ditahan pada 12 April lalu kerana disyaki memuat naik ciapan berunsur perkauman di media sosial yang boleh menimbulkan isu ketenteraman awam.

Polis berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berhubung kesalahan mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum).

Dia turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kata polis lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS