Bekas ahli parlimen Klang, Charles Santiago mengulangi seruan PSM agar kerajaan mendedahkan laporan jawatankuasa khas bebas mengenai pengurusan pekerja asing.
Charles berkata pengurusan pendatang asing di negara ini boleh dipertingkatkan jika laporan tersebut, yang telah dikemukakan pada tahun 2019 oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pekerja Asing, didedahkan kepada umum.
Jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hishamuddin Yunus dan diwujudkan semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada 2018.
“Malangnya, kita lebih suka untuk tidak bertindak. Pengurusan migran dijadikan ‘tebusan’ oleh orang tengah yang tidak bertanggungjawab (broker pekerja asing) di kedua-dua negara.
“Dengan kata lain kerajaan, majikan dan ekonomi dijadikan sebagai 'tebusan' oleh orang tengah ini.
"Ia harus dihentikan agar negara boleh maju," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata tidak ada sebab untuk laporan itu tidak didedahkan kepada umum, terutamanya selepas kerajaan menyahklasifikasikan laporan siasatan 1976 mengenai hahas udara yang dikenali sebagai insiden Double Six baru-baru ini.
Pada 2021, Hishamuddin dilaporkan berkata laporan itu telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan menyatakan bahawa jawatankuasa khas tersebut kecewa kerana tiada alasan diberikan berhubung perkara itu.
Sementara itu, Charles juga mengulangi gesaan untuk menamatkan portal Bestinet yang didakwanya dikawal oleh broker buruh.
“Proses pengambilan mesti terbuka dan telus di kedua-dua negara. Caj untuk kesihatan, penerbangan dan lain-lain mesti didedahkan kepada migran," jelasnya.
Bestinet ialah portal yang mentadbir sistem pengurusan migran.
Selain mengulangi gesaan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan dasar pengambilan pekerja sifar, Charles turut menyatakan semula cadangan supaya pengambilan pekerja asing dikendalikan oleh Pejabat Perdana Menteri, bukannya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.
"Jabatan itu sepatutnya dipengerusikan oleh Anwar dan diketuai oleh sama ada bekas hakim, ketua pegawai eksekutif atau pesara penjawat kanan kerajaan.
“Ia adalah perniagaan berbilion ringgit. Ia dikawal oleh broker buruh daripada negara penghantar dan penerima.
"Penjawat kerajaan dan ahli politik bekerja dengan broker buruh dan ahli politik ini, sering menjadi agensi perekrutan buruh," dakwanya.