Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan penguatkuasaan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan bersempena sambutan Aidilfitri.
MOT dalam kenyataan hari ini memaklumkan larangan itu akan dikuatkuasakan pada 20 dan 21 April ini (sebelum perayaan) serta pada 24 dan 25 April ini (selepas perayaan) mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman.
Menurut kenyataan itu larangan berkenaan bertujuan mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.
“Perintah penurunan had laju kebangsaan juga akan dikuatkuasakan bersama-sama ‘road-ban’ ini. Menurut Perintah Had Laju Kebangsaan bertarikh 13 April 2023 dan Perintah Had Laju Tempatan, had laju kenderaan motor diturunkan kepada 80 km sejam di seluruh Malaysia," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan yang ketat di seluruh negara untuk memastikan pemandu mematuhi peraturan yang ditetapkan demi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
MOT memaklumkan larangan itu melibatkan lori pembawa dan lori jongket yang berat dengan muatannya melebihi 7.5 tan, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, trak tunda dan traktor (kecuali jentera berat beroda, trak tunda dan traktor yang digunakan bagi maksud operasi kecemasan dan menyelamat).
Dalam pada itu, masa larangan sepanjang masa turut dikenakan kepada lori yang berat dengan muatannya melebihi 7.5 tan yang mengangkut simen, besi, keluli, batu, pasir, tanah, amang, bijih timah, arang batu atau bahan binaan atau bahan galian yang lain.
“Road-ban dari 12 tengah malam hingga lapan pagi pula dikenakan kepada lori kontena yang mengangkut barangan (kecuali lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya).
Masa larangan itu turut dikenakan kepada lori kargo yang mengangkut barangan elektronik atau elektrik atau bahan industri kimia dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya,” menurut kenyataan itu.
Lori kargo tanpa muatan serta lori yang mengangkut tandan buah kelapa sawit segar, produk kelapa sawit mentah, getah sekerap dan susu getah turut sama dikenakan masa larangan tersebut.
Tempoh larangan dari enam petang hingga enam pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di atas jalan tertentu pula dikenakan ke atas kren bergerak dan lori pembancuh simen.
-Bernama