Sebuah lori jenis Mack milik keluarga Diraja Johor terlibat dalam kemalangan di Kilometer 18.8 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu yang turut melibatkan dua kereta jenis Nissan dan Perodua, kira-kira 6.50 petang.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan tersebut disyaki berlaku apabila tayar lori yang sedang bergerak dari arah utara menghala ke selatan pecah secara tiba-tiba," katanya dalam kenyataan di Johor Bahru hari ini.
Bagaimanapun, katanya tiada kecederaan dialami pemandu lori yang berusia 39 tahun serta kesemua mangsa yang terlibat.
Menurutnya, kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Terdahulu, tular sekeping gambar dan video berdurasi 23 saat di Twitter yang memaparkan sebuah lori dipercayai milik keluarga Diraja terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Lebuh Raya Utara-Selatan, semalam.
- Bernama