Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Auku: Beri ruang menteri bentang cadangan pindaan, kata Syed Saddiq

Beri ruang dulu kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin untuk membentangkan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, dia yakin Mohamed Khaled mendengar aspirasi dan kehendak mahasiswa yang mahukan perubahan terhadap Auku.

"Datuk Seri Khaled adalah bekas bos saya... Saya pernah bertugas sebagai pegawai penyeledik beliau.

"Apabila saya lantang (menegur) dia tak buang saya, dia bagi saya peluang.

"(Justeru) Bagi peluang menteri untuk bentang dan bincang (pindaan Auku), pasti akan dapat perhatian hangat," katanya program sesi diskusi santai Auku: Apakah Pengakhirannya? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi malam tadi.

Turut menjadi panel, exco Pemuda PAS, Nazrul Nazir dan aktivis politik Farhan Khairuddin.

Kata Syed Saddiq, dia mengambil pendirian untuk berpandangan positif terhadap Mohamed Khaled berdasarkan pengalaman bekerjasama dengan menteri terbabit sejak 2015.

Mohamed Khaled Nordin

Pada 6 April lalu, Mohamed Khaled memaklumkan rang undang-undang (RUU) pindaan Seksyen 15 dan 16 Auku 1971 - yang akan memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam beberapa perkara termasuk aktiviti berpersatuan - dijangka dibentangkan di parlimen tahun ini.

Kata Mohamed Khaled pada pertengahan Jun ini RUU tersebut akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sementara itu Nazrul berpandangan Auku memerlukan kepada pindaan bukannya pemansuhan khususnya berkenaan seksyen 8 dan gerakan mahasiswa perlu bertindak agresif.

Secara berkias, dia berkata 'pagar-pagar' yang berkaitan akta tersebut sudah dibuka namun pintu masih tertutup.

Justeru katanya gerakan mahasiswa perlu bijak mencari jalan untuk membolehkan perubahan digerakan.

"Bila kita nampak apa yang perlu dipinda, baru kita cadang kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, Farhan berkata kesediaan mahasiswa adalah perkara utama sebelum membicarakan soal pemansuhan Auku.

"Auku bukan isu baru, pindaan pada 2012 juga adalah gerakan daripada UKM.

"Kertas pindaan sudah ada, cuma macam kita kata tadi, apakah kita sudah bersedia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS