Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JPN Kuching beri dokumen pengenalan sementara pada pesakit kanser

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuching di Sarawak telah mengeluarkan dokumen pengenalan sementara kepada pengidap barah berusia 65 tahun, Lina Samuel, di tengah siasatan baru berhubung dakwaan MyKadnya dirampas secara salah.

Anggota Parti Bangsa Malaysia (PBM) Agnes Padan memaklumkan ia selepas satu lagi pertemuan antara JPN dengannya, Lina, ketua kampung Lina di Lawas, seorang tokoh kampung itu, dan anak perempuan Lina.

"Selepas sesi hari ini, kami terima dokumen sementara.

"Ya, Lina kini boleh ke Miri," kata Agnes kepada Malaysiakini hari ini.

Lina yang tinggal di Lawas mengidap barah usus dan bimbang dia tidak dapat ke hospital kerajaan di Miri untuk mendapatkan rawatan tanpa MyKad.

Dia mendakwa kad pengenalannya dirampas oleh seorang pegawai JPN pada November 2022, ketika di ke jabatan itu untuk menukar alamatnya agar dapat mengundi pada PRU15.

Namun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata MyKad Lina dirampas JPN pada 8 Oktober 2019 kerana surat beranaknya menunjukkan dia adalah warga Indonesia, bukan Malaysia.

Mengulas kenyataan itu, Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata dia telah mengarahkan Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching untuk mencari Lina dan mengesahkan dakwaan bahawa dia merupakan warga republik itu.

"Berdasarkan undang-undang kewarganegaraan Indonesia, secara teknikalnya Lina tidak boleh dikatakan sebagai warga Indonesia kerana dia tidak pernah ada dokumen yang menunjukkan dia warga Indonesia.

"Kami juga tak tahu latar belakangnya, terutama ibu bapanya. Namun, undang-undang kewarganegaraan Indonesia juga tidak membenarkan individu tiada kerakyatan," kata Hermono kepada Malaysiakini.

Hermono

"Berdasarkan kes tertentu, kedutaan boleh mengeluarkan dokumen pengenalan peribadi jika ada permohonan, berlandaskan prinsip kemanusiaan.

"Berkenaan kes Lina, jika telah dipastikan yang dia bukan warga Malaysia dan dia mendakwa sebagai warga Indonesia, maka Indonesia boleh memberikannya kewarganegaraan agar dia tidak menjadi individu tanpa kerakyatan," katanya.

Mengambil kira keadaan kesihatannya, katanya lagi, keutamaan juga akan diberikan untuk menawarkan bantuan perubatan kepada Lina sementara status kewarganegaraannya diselesaikan.

"Secara prinsip, keterlibatan kami dalam kes ini hanya berdasarkan laporan bahawa dia boleh jadi seorang warga Indonesia dan pada masa ini berdepan masalah kesihatan yang serius," katanya lagi.

Agnes kemudian mengesahkan yang dia telah dihubungi Hermono dan pegawai dari Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching akan ke Lawas untuk bertemu Lina.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS