Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes tragedi basikal lajak di Johor pada 2017 menunjukkan bahawa mahkamah yang lebih rendah tidak boleh begitu saja menganggap pihak pemandu bersalah dalam kemalangan maut.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir, berkata keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 April lalu yang membebaskan kerani, Sam Ke Ting, menunjukkan pentingnya pihak pendakwaan membuktikan sesuatu kes memandu secara melulu melebih keraguan munasabah sebagai teras pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Seseorang tidak boleh menganggap bahawa jika ia adalah kemalangan maut, maka pemandu terbabit sudah pasti bertanggungjawab.

"Perlu diingat, untuk bersalah memandu secara melulu, pemandu mesti telah mencipta risiko kecederaan yang jelas dan serius kepada orang atau kerosakan harta benda.

“Anggapan bersalah dalam situasi yang melibatkan kemalangan maut bukanlah keperluan undang-undang. Siasatan mesti teliti untuk membuktikan sesuatu kesalahan,” katanya kepada Malaysiakini.

Salim Bashir

Dalam keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan itu, ketua panel tiga hakim Hadhariah Syed Ismail memutuskan pertuduhan terhadap Sam adalah cacat kerana mengandungi dua kesalahan berasingan - memandu secara melulu dan memandu berbahaya - dalam satu pertuduhan.

Hakim juga menyatakan Mahkamah Tinggi Johor Bahru - yang mensabitkan kesalahan ke atas pemandu itu serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 - telah mengabaikan penemuan majistret bahawa kemalangan itu adalah mustahil untuk dielakkan.

Hadhariah memutuskan Sam, 27, tidak boleh diharap dapat meramalkan kehadiran antara 30 dan 40 penunggang basikal lajak yang tidak sepatutnya keluar ke di jalan yang malap pada 18 Feb 2017.

Dalam kemalangan itu lapan daripada remaja terbabit meninggal dunia.

Tiada ilmu yang betul

Sementara itu peguam Rajesh Nagarajan ketika mengalu-alukan keputusan dua hari lalu berkata keputusan menjadi peringatan kepada semua bahawa pengguna jalan raya - termasuk penunggang basikal - erlu mematuhi undang-undang dan berhati-hati semasa berada di situ.

Katanya keputusan Mahkamah Rayuan harus diterima oleh semua ibu bapa di Malaysia, tanpa mengira agama dan kaum, untuk sentiasa menjaga anak masing-masing, terutamanya ketika menunggang basikal.

“Pengajaran daripada kejadian ini ialah, setiap ibu bapa perlu berhati-hati dan sentiasa tahu di mana anak-anak mereka berada pada setiap masa.

"Setiap ibu bapa di luar sana perlu berwaspada dengan aktiviti anak-anak.

"Mereka kanak adalah kehidupan kita, anda perlu meluangkan banyak masa dan usaha untuk memastikan mereka sentiasa sihat dan selamat," kata Rajesh.

Kitson Foong

Seorang lagi peguam Kitson Foong memberitahu Malaysiakini rayuan itu berfungsi sebagai peringatan kepada kerajaan untuk memastikan penunggang basikal ada pengetahuan yang mencukupi tentang cara menunggang secara selamat di jalan awam.

Katanya tidak seperti pengguna kenderaan bermotor seperti kereta dan motosikal yang memerlukan mereka lulus ujian sebelum mendapat lesen memandu, penggunaan basikal dan kenderaan lain yang serupa seperti skuter tidak dilindungi oleh keperluan undang-undang berkenaan.

Foong berkata, keadaan itu menyebabkan kemunculan penunggang basikal - terutama kanak-kanak dan remaja - yang mungkin tidak ada pengetahuan yang betul untuk berbasikal di jalan raya.

Keadaan itu katanya membahayakan diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain.

“Dari segi basikal lajak, kerajaan perlu memastikan bakal pengguna jalan raya ini diberi bimbingan di sekolah," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS