Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan suspek muat naik ciapan berbaur perkauman

Polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai Roslizal Razali petang semalam kerana disyaki memuat naik ciapan berunsur perkauman di media sosial yang boleh menimbulkan isu ketenteraman awam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia ACP A Skandaguru berkata Roslizal, 46, ditahan sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kira-kira jam 6.30 petang di ibu negara.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah komputer riba untuk membantu siasatan dan perintah reman akan dipohon pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Skandaguru, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum).

"Suspek juga ditahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Minggu lepas polis mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang mengesan Roslizal bagi membantu siasatan berhubung kes hasutan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS