Laporan akhir siasatan nahas pesawat pada 1976 yang meragut 11 nyawa, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens, mendapati tiada unsur sabotaj.
Menurut dapatan itu, pemeriksaan ke atas serpihan pesawat udarat terbabit menunjukkan enjin masih di dalam keadaan berkuasa semasa nahas, manakala kawalan pesawat berfungsi.
Tiada juga tanda-tanda kebakaran atau letupan dikesan.
Proses nyah klasifikasi laporan itu selesai pada 6 April lalu dan boleh dimuat turun di laman rasmi Kementerian Pengangkutan.
Kesimpulan pasukan penyiasat sebaliknya adalah kemungkinan besar punca kemalangan yang digelar nahas Double Six itu adalah kerana pesawat tersebut hilang keseimbangan kerana ruang bagasi di bahagian belakang terlebih muatan.
Berdasarkan bagasi yang ditemui daripada serpihan kemalangan laporan itu menganggarkan terdapat 325lbs (147.4kg) muatan di bahagian bagasi buritan, melepasi had yang dibenarkan iaitu 198 lbs (89.8 kg).
Dalam keadaan begitu, walaupun kiraan berat pesawat terbabit semasa berlepas (435 lbs atau 197.3kg) adalah masih di bawah hak maksimum dibenarkan, pusat graviti teralih jauh ke bahagian belakang.
Keadaan itu kecenderungan untuk menolak kedudukan hidung pesawat ke atas, menjadikan tetapan trim ekor kapal terbang melebihi kebiasaan, dan menolak kawalan penerbangan ke hadapan.
Apabila kepak pesawat digunakan sebagai persediaan untuk mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, angkatan tambahan itu tidak dapat kendalikan sepenuhnya kerana kawalan penerbangan tertolak melebihi hadnya.
“Oleh itu adalah jelas bahawa terdapat pergerakan yang tidak mencukupi di kiri ruang kawalan untuk menghalang hidung daripada bergerak lebih jauh ke atas,” katanya.
Dalam keadaan begitu, kata laporan berkenaan, pesawat udara terbabit kehilangan kelajuan yang sepatutnya dan ia memerlukan kedudukan lajur yang lebih jauh ke hadapan untuk membetulkan keadaan.
“Oleh itu pada peringkat ini, tidak mungkin untuk memulihkan keadaan yang merosot dengan pantas menjadi stall condition,” kata laporan itu.
"Stall" merujuk kepada keadaan penerbangan yang berpotensi berbahaya apabila tiada lagi aliran udara yang mencukupi di atas sayap pesawat untuk menjana daya angkat, dan boleh menyebabkan kehilangan kawalan.
Laporan itu turut membangkitkan perihal juruterbang Gandhi Nathan yang digambarkannya sebagai ada rekod yang buruk.
Laporan itu menyatakan buku log penerbangan juruterbang didakwa terbakar pada Jun 1969, dan buku log ganti dicuri pada November 1975.
Ia juga menyatakan berdasarkan rekod yang ada, juruterbang ada "sejarah prestasi buruk" dalam penerbangan dan rekod latihannya dengan Sabah Air adalah marginal.
Untuk penerbangan terakhirnya, kata laporan tersebut, juruterbang berkenaan gagal menyediakan helaian muatan yang membabitkan kertas kerja seperti perincian berat penumpang pesawat, kargo, dan pengedarannya, butiran penumpang, dan beberapa rancangan penerbangan.
Selain itu, laporan itu juga mendapati syarikat penerbangannya, Sabah Air, tidak tegas dalam memastikan prosedur dipatuhi.
"Maka semua keadaan ini menyebabkan ia berlaku, di mana juruterbang, tanpa kelaziman memenuhi banyak keperluan atau prosedur yang digariskan syarikat, sekadar berjalan secara bersahaja mengelilingi pesawat di Labuan, dan duduk di kokpit ketika semua muatan berada dalam pesawat, tanpa sedar yang taburan muatan (distribution of load) adalah salah," kata laporan itu.
Laporan itu turut menyatakan juruterbang juga mungkin tidak cukup tidur dan dia ada memberitahu kenalan yang dia letih dan sakit perut yang tidak teruk.