Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MyPPP kini sah di bawah teraju Maglin D'cruz
Diterbitkan:  Apr 12, 2023 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2019 untuk membatalkan pendaftaran MyPPP.

Dalam satu kenyataan semalam, Presiden MyPPP Maglin Dennis D'cruz berkata pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh KDN pada 11 April lalu.

Dia berkata, ROS juga kini  mengesahkan keabsahan senarai ahli  Majlis Tertinggi myPPP di bawah kepimpinannya yang dipilih sebagai presiden parti semasa Perhimpunan Agung Tahunan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu.

"Perkembangan terbaru in menandakan berakhirnya kemelut kepimpinan yang melanda myPPP yang telah berlarutan sejak hampir lima tahun lalu," kata Maglin.

Pendaftaran MyPPP telah dibatalkan  pada 2018 selepas dua puak dalam parti itu, masing-masing mendakwa sebagai pemimpin parti yang sah.

Satu puak diketuai oleh M Kayveas manakala D'cruz mengetuai yang satu lagi.

M Kayveas

Kayveas telah memimpin parti itu selama dua dekad, dan berjaya memastikan parti itu mempunyai wakil di kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada 2004.

Pada 2018, hanya beberapa minggu menjelang pilihan raya umum, Kayveas secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai presiden parti dan hanya menarik balik surat peletakan jawatannya beberapa hari kemudian.

Ini menyaksikan MyPPP mempunyai dua presiden. Ketika itu, puak Kayveas berkeras untuk meninggalkan BN manakala puak Maglin mahu terus bersama.

Setakat hari ini, MyPPP bukan lagi sebahagian daripada gabungan BN.

MyPPP ialah pengganti Parti Progresif Penduduk (PPP) yang pernah menjadi parti politik berkuasa di Perak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS