Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ROS bantah permohonan Zuraida untuk tuntut jawatan presiden PBM

Pendaftar Pertubuhan (ROS) membangkitkan bantahan terhadap permohonan Zuraida Kamaruddin untuk diiktiraf secara rasmi sebagai presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bantahan itu dikemukakan oleh wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Ketika dihubungi hari ini, peguam Zuraida, Mohamed Ashmeer Ashrof mengesahkan perkara itu, sambil menambah bahawa inti bantahan ialah permohonan kebenaran semakan kehakiman adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam itu menambah bahawa hakim Amarjeet Singh kemudiannya menetapkan 11 Mei untuk penjelasan dan keputusan untuk memberi atau menafikan kebenaran untuk Zuraida meneruskan semakan kehakiman.

Sekiranya mahkamah membenarkan permohonan itu, ia kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujahan lisan pihak-pihak mengenai merit semakan kehakiman.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Zuraida bulan lepas memfailkan tindakan undang-undang untuk menuntut semula jawatan tertinggi PBM, berikutan perebutan kuasa yang berlarutan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah.

Peguam Persekutuan M Kogilambigai dalam hujahnya, memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa pertikaian dalam PBM adalah perkara dalaman untuk diselesaikan pihak terlibat.

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu kerana klausa penyingkiran di bawah Seksyen 18C dalam Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Peguam Mohamed Ashmeer Ashrof yang mewakili Zuraida, berhujah bahawa pertikaian itu telah diselesaikan dan notis telah dihantar kepada RoS pada Oktober tahun lepas.

“Bagaimanapun, RoS tidak mengiktirafnya sebagai presiden parti," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan 11 Mei untuk penjelasan lanjut dan menyampaikan keputusannya mengenai bantahan AGC itu.

Zuraida, 65, yang memfailkan permohonan itu pada 24 Mac dan menamakan RoS sebagai responden tunggal, memohon pengisytiharan bahawa tindakan RoS mengekalkan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shen sebagai presiden PBM adalah tidak sah dan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan RoS mengiktiraf beliau sebagai presiden PBM berkuat kuasa 7 Okt 2022.

Bekas Ahli Parlimen Ampang itu dalam afidavit sokongannya berkata beliau menerima surat daripada PBM pada 27 Okt 2022, memaklumkan pelantikannya sebagai presiden PBM.

Bagaimanapun, Zuraida berkata beliau menerima surat daripada parti itu bertarikh 19 Dis tahun lepas yang menyatakan Soon mengisytiharkan dirinya sebagai presiden PBM dan menggantung keahliannya (Zuraida).

Bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata beliau mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Dis 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS