Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 melabuhkan tirai hari ini setelah bersidang selama 14 hari bermula 13 Feb lalu yang menyaksikan 13 rang undang-undang (RUU) diluluskan.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, dalam ucapan penangguhannya mencadangkan supaya kerajaan mengorak langkah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa undang-undang membabitkan Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.
"Usaha haruslah dilangkahkan supaya sekurang-kurangnya ketiga-tiga undang-undang ini mendapat versi yang sahih dalam bahasa kebangsaan supaya apa yang dianggap sebagai testimoni atau pun tanda bukti besar kepada perjuangan nasional dapat kita daftarkan menerusi usaha itu," katanya.
Rais turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Kabinet yang telah memenuhi janji mereka untuk hadir menjawab pertanyaan Senator di Dewan Negara sepanjang persidangan berlangsung.
Beliau kemudian menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Persidangan yang bermula 13 Feb lepas dimulakan dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Memetik Titah Diraja, Seri Paduka menitahkan wakil rakyat menjaga nama baik dan kehormatan Parlimen, berkhidmat setulus hati dan ketepikan agenda politik sempit selain menjadikan kestabilan landskap politik menerusi ikatan perpaduan dijadikan manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.
Sementara itu, antara tumpuan dalam persidangan kali ini adalah kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewangan ke Dewan Negara bagi bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) pada 29 Mac yang turut mengumumkan beberapa inisiatif tambahan antaranya melibatkan pemberian bantuan Aidilfitri dan pengecualian cukai.
Belanjawan 2023 diluluskan Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 50 Senator.
Selain Belanjawan 2023, sebanyak 12 rang undang-undang turut diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023.
Turut diluluskan adalah Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022) 2023, Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.
Selain itu, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), turut diluluskan.
Dalam pada itu, Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) menjadi antara topik perbahasan yang berlangsung dalam suasana sedikit emosi apabila para Senator dalam dewan bertindak berdiri selama satu minit dengan sebelah kaki sebagai tanda sokongan dan bersolidariti kepada Senator Isaiah Jacob.
Turut hangat dibahaskan adalah berkaitan pengeluaran lanjutan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan usul bagi membahaskan perkara berkenaan dikemukakan Senator Datuk Razali Idris, mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara, semalam.
Bagaimanapun, usul dibawa Razali yang kemudian dibahas oleh 12 Ahli Dewan Negara, ditolak.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Negara akan bersidang semula selama enam hari bermula 19 hingga 27 Jun ini.
- Bernama