Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis, media dedah remaja pada keganasan berasas jantina dalam talian - NGO

Sebuah kumpulan yang memantau keganasan berasaskan jantina dalam talian mendakwa pihak polis melanggar privasi apabila menahan seorang remaja perempuan di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pemuda berusia 22 tahun.

Menurut mereka, pihak media juga melakukan pelanggaran yang sama apabila melaporkan penahanan pasangan itu.

Kryss Network dalam satu kenyataan mengingatkan bahawa hak privasi remaja di bawah umur terpakai sebelum, semasa dan selepas perbicaraan.

Menurut Kryss, dan dalam kes ini, tindakan tidak bertanggungjawab oleh polis dan pihak media telah mendedahkan gadis terbabit kepada keganasan berasaskan jantina di dalam talian.

“Tindakan tidak bertanggungjawab pihak berkuasa dan kumpulan media boleh mendedahkan kanak-kanak di bawah umur kepada gangguan seksual, pengejaran maklumat peribadi (doxxing), pengumpulan pengikut secara dalam talian (dogpiling), dan keganasan yang mungkin berterusan ke ruang fizikal," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

“Memandangkan gambarnya tersebar luas, peluang identitinya didedahkan adalah lebih tinggi.

"Ini boleh memudaratkan kanak-kanak tersebut dalam jangka masa panjang," kata mereka.

Mengulas lanjut, Kryss berkata remaja tersebut berisiko menjadi mangsa gangguan seksual.

Pasangan itu ditahan pada Khamis (6 April) lepas susulan klip video yang menunjukkan mereka melakukan hubungan intim di dalam sebuah kereta di kawasan letak kereta, di Pasir Gudang.

Beberapa pihak turut membangkitkan kebimbangan mengenai hak remaja perempuan itu berikutan liputan meluas pihak media dan tindakan yang diambil pihak polis.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak menafikan remaja itu ‘diperagakan’ dalam keadaan bergari.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan video yang tular itu, Kryss berkata ia akan kekal di laman web dan berpotensi untuk muncul semula pada masa hadapan dan menyebabkan trauma kepada remaja terbabit.

Polis Seri Alam setakat ini berkata ia sedang menyiasat semua aspek kes termasuk individu yang didakwa bertanggungjawab merakam dan memuat naik video pasangan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS