Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
81% ahli KWSP tak cukup wang untuk bersara
Diterbitkan:  Apr 11, 2023 4:32 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Setakat 31 Disember tahun lalu, hanya 19 peratus daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencapai tahap simpanan asas mengikut umur bagi membolehkan mereka mempunyai simpanan RM240,000 pada usia 55 tahun.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan dalam jawapan bertulis di parlimen bagi menjawab soalan Amirudin Shari (PH - Gombak).

"Ini secara langsung menunjukkan bahawa 81 peratus ahli berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah simpanan mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” katanya.

Terdahulu Amirudin meminta menteri kewangan menyatakan kategori pencarum KWSP berdasarkan simpanan terkini mereka dan bilangan pencarum yang tidak memiliki wang caruman mencukupi menjelang umur persaraan mereka.

Anwar berkata lebih 156,000 pencarum daripada 275,000 ahli (56 peratus) yang berumur 54 tahun sekarang - mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 atau kurang.

"Jumlah RM50,000 ini hanya boleh memberikan pendapatan persaraan sekitar RM208 sebulan untuk tempoh 20 tahun," katanya.

Katanya sehingga 31 Dis 2022, lebih 51 peratus daripada 13.1 juta ahli berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah dalam akaun KWSP mereka.

Daripada jumlah ini, seramai 1.7 juta atau 26 peratus adalah ahli berumur 40 tahun dan ke atas, iaitu golongan yang bakal mencapai umur pengeluaran penuh simpanan KWSP dalam masa 15 tahun dan kurang

"Bagi kumpulan ini, simpanan KWSP mereka hanya boleh memberikan pendapatan persaraan kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” katanya.

Anwar turut memberikan pecahan ahli KWSP yang mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah serta mereka yang mempunyai simpanan lebih daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mengikut kumpulan umur.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023 bulan lepas, kerajaan mencadangkan pencarum membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman KSWP sebagai cagaran.

Bagaimanapun kaedah itu hanya dibenarkan bagi mereka yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang.

Skim pinjaman tidak akan melibatkan pengeluaran terus daripada simpanan pencarum.

BACA LANJUT: Cukupkah simpanan hari tua nanti?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS