Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sam minta maaf pada keluarga korban tragedi basikal lajak

Wanita yang terbabit dalam kemalangan maut yang mengorbankan lapan remaja di Johor enam tahun lalu berkata, tragedi itu akan "menghantui" sepanjang hidupnya.

Menurut Sam Ke Ting dia juga meminta maaf kepada keluarga lapan remaja terbabit.

“Saya ingin sampaikan bahawa saya juga turut memikul keperitan tragedi tersebut.

"Pada setiap titik dan jiwa pemikiran saya dihantui oleh kejadian malang yang berlaku pada malam tersebut.

“Dan saya percaya saya akan membawa perasaan ini sehingga ke kubur,” katanya.

Sam, 28, berkata demikian kepada media selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya pagi tadi membatalkan sabitan bersalahnya atas pertuduhan memandu secara melulu.

Dalam kejadian awal 2017 itu wanita terbabit melanggar sekumpulan remaja lelaki yang terbabit dalam kegiatan basikal lajak.

Tiga hakim sebulat suara membuat keputusan berkenaan hari ini iaitu Hadhariah Syed Ismail sebagai pengerusi panel, bersama Hashim Hamzah dan Azman Abdullah.

Kata Sam, apa yang berlaku pada malam kejadian adalah kemalangan dan sedar permohonan maafnya itu mungkin tidak memadai untuk membawa ketenteraman kepada kehidupan keluarga remaja terbabit.

[Laporan lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS