Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg heroin dari M'sia
Diterbitkan:  Apr 11, 2023 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dadah berkenaan dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

AFP dalam kenyataan minggu lepas memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

Menurut kenyataan itu, semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

Kenyataan itu memaklumkan pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS