Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MyKad pesakit kanser dirampas: JPN dapati wanita itu bukan warga M'sia - menteri

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menjawab soalan mengenai dakwaan seorang wanita berusia 65 tahun di Sarawak yang mendapati kad pengenalannya dirampas selepas cuba menukar alamatnya agar dapat mengundi pada PRU15.

Siasatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati warga emas itu berasal dari Indonesia dan bukan warga negara Malaysia, katanya.

"Dalam kes Sarawak itu, memang MyKad ditarik balik.

"Ini setelah dokumen sijil kelahiran anak-anak dia itu menunjukkan warganegara ibu adalah warga Indonesia.

“Siasatan oleh panel siasatan juga mengesahkan begitu," jelasnya pada majlis dialog Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian

Terdahulu, Saifuddin diminta mengulas dakwaan wanita tersebut bahawa pihak JPN telah merampas MyKad sehingga tidak dapat mendapat rawatan untuk sakit kanser.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa sejak November 2022, Lina Samuel hidup tanpa MyKad dan ia menjadikan kehidupannya lebih sukar. Antaranya temu janjinya dengan doktor terpaksa dibatalkan.

Menurutnya, dia membuat permohonan menukar alamat menjadi mimpi ngeri selepas JPN Lawas yang dikunjunginya untuk menguruskan perkara itu merampas MyKad miliknya.

Apabila Lina meminta penjelasan, pegawai bertugas memberitahu ia merupakan arahan orang atasan.

Dia akhirnya tiada pilihan selain menerima apa yang berlaku dan pulang ke rumah dengan berat hati.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana Lina pada awalnya boleh memperolehi MyKad yang dirampas itu serta status ketulenannya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak berkuasa Kedutaan Indonesia untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai status kerakyatan sebenar wanita berkenaan.

Masih menjadi tanda tanya juga status perubatan wanita yang menghidap kanser itu yang dinafikan mendapatkan rawaran kerana tiada dokumen sah pengenalan diri.

Sementara itu, Saifuddin menjelaskan JPN tidak sewenang-wenangnya tarik balik MyKad.

"JPN bukannya mudah-mudah tarik balik sijil lahir, pasti ada sebab, kita kena siasat, memang kita ada panel siasatan.

"Saya nak sebut, bukan kerja JPN senang-senang tarik balik.

"Sebab itu saya sebut mengesahkan ketulenan dan kesahihan sesuatu dokumen itu penting," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS