Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanah adat: Saman Orang Asli Kuala Lipis terhadap k'jaan didengar hari ini
Diterbitkan:  Apr 10, 2023 4:16 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini mendengar saman yang difailkan penduduk Kampung Orang Asli dari Kampung Pos Lanai, Kuala Lipis berhubung dakwaan pencerobohan di atas tanah mereka oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pahang.

Saman sivil berkenaan dibicarakan selama tiga hari bermula hari ini.

"Pada hari ini, kami telah bertindak memberanikan diri untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Temerloh," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Orang Asli Pos Lanai, Jeffry Hassan di luar mahkamah hari ini.

Orang Asli daripada suku Semai terbabit menamakan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, pengarah Tanah dan Galian Pahang, pengarah Jabatan Perhutanan Negeri dan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai defendan.

Mereka memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemegang tunggal hak tanah adat Pos Lanai, serta agar kerajaan mewartakan kampung itu sebagai penempatan Orang Asli yang dilindungi di bawah Akta Orang Asli.

Mereka juga mahu mahkamah menghalang defendan daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh memudaratkan tanah.

Saman itu - difailkan pada 2021 - bukan tindakan kali pertama yang dilakukan Orang Asli Pos Lanai untuk mempertahankan tempat tinggal mereka.

Pada 2011 terdapat rancangan untuk mendirikan empangan berhampiran Pos Lanai, tetapi projek itu dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 selepas penduduk membawa perkara itu ke mahkamah dan mengadakan beberapa bantahan.

Pada tahun 2020 pula terdapat rancangan untuk membangunkan lombong nadir bumi meliputi kawasan yang boleh memuatkan 924 padang bola di hutan Ulu Jelai berhampiran.

Walaupun permohonan projek itu ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa menemui lombong haram di kawasan itu pada Mac tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS