Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: RM1 juta untuk kebajikan rakyat, bukan manfaat peribadi Syed Saddiq

Dana RM1 juta milik Bersatu digunakan untuk kebajikan rakyat dan bukannya manfaat peribadi bekas ketua pemuda parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menurut peguamnya Gobind Singh Deo.

"RM1 juta dikeluarkan dari akaun Armada (Pemuda Bersatu) untuk batuan kebajikan, Covid-19, Ramadan dan Hari Raya," kata Gobind di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian ketika penghujahan lisan di akhir peringkat pembelaan kes penyelewengan RM1.12 juta terhadap Syed Saddiq.

Gobind berkata ketika RM1 juta dikeluarkan daripada akaun pada 6 Mac 2020, rakyat Malaysia sedang bergelut dengan kesan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Penguatkuasaan PKP memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dari segi kesihatan dan juga ekonomi, katanya.

Gobind turut membangkitkan Fasal 6.10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan antara tujuan dan matlamat parti itu adalah "memperjuangkan keadilan sosial, mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama".

Gobind Singh Deo

Katanya lagi, Fasal 4.2 Peraturan Armada pula menyatakan tujuannya adalah untuk mengadakan kegiatan untuk mencapai tujuan dan matlamat Bersatu.

Tiada sekali pun wang tersebut di bawah kawalan langsung Syed Saddiq mahupun dibelanjakannya secara peribadi, kata Gobind.

Sementara itu, berhubung wang RM120,000 yang juga termasuk dalam kes tersebut, Gobind memberitahu mahkamah yang jumlah itu, yang dipindahkan ke akaun peribadi Syed Saddiq, adalah miliknya dan bukan milik parti.

Dia berkata wang itu disalurkan ke akaun Syed Saddiq daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) - sebuah entiti perniagaan swasta yang tiada kaitan dengan Bersatu.

'Gagal buktikan penyelewengan'

Dalam pada itu, Gobind membangkitkan saksi pendakwaan Rafiq Hakim Razali, yang merupakan bekas bendahari Armada, ketika pemeriksaan balas mengakui bahawa wang RM120,000 adalah untuk kegunaan Syed Saddiq dan bukan milik parti.

Dia berkata pendakwaan gagal membuktikan berlakunya sebarang penyelewengan kerana mereka gagal memberikan bukti yang Rafiq melakukan penyelewengan, dan ia bermakna Syed Saddiq tidak bersubahat dengan Rafiq dalam kesalahan yang didakwa berlaku itu.

Dua pertuduhan terhadap Syed Saddiq adalah bersubahat dengan Rafiq dalam salah laku melibatkan RM1.12 juta.

Prosiding di depan hakim Azhar Abdul Hamid bersambung esok, dengan ketua pasukan pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin dijangka memberikan hujah balas.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS