Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beri pengampunan penuh pada pengguna dadah ringan - Masac
Diterbitkan:  Apr 10, 2023 10:31 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac) menyarankan agar kerajaan mewujudkan lembaga keampunan khas bagi bekas-bekas pengguna dadah sebagai peluang kedua.

Setiausahanya Raja Azizan Suhaimi berkata pihaknya berharap pengampunan penuh automatik dan pembersihan rekod kesalahan diberikan kepada bekas penagih yang menjalani hukuman dan pemulihan serta dijamin bersih dalam tempoh lima tahun.

"Negara kita mempunyai jumlah bekas pengguna bahan terlarang termasuk dadah yang ramai, berjumlah puluhan ribu sejak penggunaan dadah dijadikan satu kesalahan di Malaysia.

"Mereka yang pernah terlibat dengan masalah pengambilan dadah ini, ramai yang sudah insaf apabila dihukum dan mempunyai sokongan rakan pemulihan agar mereka kekal pulih dan tidak kembali kepada pengambilan dadah.

"Mereka ini sungguhpun cekal dan menguatkan hati untuk tidak kembali ke kancah dadah berdepan kesukaran mendapat peluang pekerjaan kerana mempunyai rekod sebagai bekas pengguna dadah yang pernah dihukum penjara atau denda," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masac berharap kerajaan membantu golongan berkenaan agar mereka dapat meneruskan kehidupan tanpa sebarang stigma dan prejudis masyarakat.

Sehubungan itu Raja Azizan berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim menetapkan satu arahan pentadbiran agar bekas pengguna dadah yang sudah bersih secara automatik diberi pengampunan penuh dan data mereka bebas daripada rekod hukuman.

"Ini kerana banyak kes pengguna dadah yang pernah dihukum kerana ambil dadah atau memiliki dadah penggunaan sendiri dengan jumlah kecil terus punah kehidupannya dari sudut kerjaya, sedangkan mereka ini mempunyai latar belakang hebat dari segi pendidikan dan kerjaya,” katanya.

Tambahnya, bekas pengguna dadah juga boleh memenuhi tawaran kerja bagi sektor yang sering diisi oleh tenaga kerja warga asing.

Pekerja asing sendiri, katanya, mungkin tidak disaring dengan benar-benar teliti dalam isu rekod penggunaan dadah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS