Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Jangan salah guna kamera untuk hendap, skodeng orang

Kemunculan pelbagai jenis teknologi baru pada masa kini telah banyak memberi ruang dan peluang pada kita semua untuk mengunakannya sebagai bahan bukti atau sokongan ketika berlakunya perkara yang tidak diingini. Antaranya adalah kemunculan kamera video. 

Penggunaan kamera video seperti yang ada dalam telefon pintar ataupun penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) serta dashcam sudah menjadi satu keperluan utama dan penting oleh semua pihak pada masa kini bagi membendung kegiatan jenayah serta bagi melindungi diri masing-masing terhadap sebarang tuduhan yang tidak berasas. 

Kedudukan kamera video sebagai bahan bukti untuk kes mahkamah ini sudah termaktub bawah Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. Akta Keterangan 1950 [Akta 56] ini merupakan sebuah akta paling utama dalam negara kita yang mengawalselia proses pemberian bahan bukti dalam mahkamah. Melalui Akta Keterangan 1950 [Akta 56] ini, kamera video boleh menjadi sebuah bahan bukti yang kuat sekiranya ia memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan. 

Walaupun penggunaan kamera video ini dilihat penting sebagai bahan pembuktian, kita harus memastikan ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak untuk tujuan jenayah atau mengganggu privasi seseorang. Terdapat juga insiden penyalahgunaan kamera video untuk kegiatan hendap atau skodeng seperti yang berlaku pada mangsa di dalam tandas dan bilik salinan pakaian di pusat beli-belah seperti yang telah dilaporkan sebelum ini dalam negara kita. 

Baru-baru ini juga telah tular di media sosial satu video pasangan muda melakukan aksi tidak senonoh di dalam sebuah kereta yang dirakam oleh seorang individu. Video yang diambil terbabit telah pun menjadi viral sehingga menjadi tatapan khalayak ramai. Perlu diketahui, kini tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan perbuatan hendap atau skodeng. 

Ini berdasarkan pindaan yang telah dilakukan ke atas Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Acara Jenayah [Akta 593] yang telah menjadikan tindakan menghendap atau skodeng sebagai satu kesalahan jenayah dalam negara kita. 

Pindaan berkenaan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 29 Mac 2023 yang lalu. Pada 7 April 2023, Rang Undang-undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 bagi kesalahan menghendap telah diluluskan di Dewan Negara. 

Rasional meminda Kanun Keseksaan ini adalah bagi menjadikan perlakuan menghendap sebagai satu kesalahan kerana boleh menimbulkan perasaan takut dan bimbang serta mencapai tahap yang mana mangsa boleh dicederakan sehingga ada yang menyebabkan kematian. 

Pindaan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bertujuan memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap. 

Seksyen itu menyebut sesiapa yang berulang kali dengan apa- apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap. 

Menurut rang undang-undang itu, sesiapa melakukan kesalahan menghendap boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. 

Dengan kelulusan kedua-dua RUU tersebut, perbuatan menghendap atau skodeng menjadi satu kesalahan jenayah yang membolehkan pelaku disiasat dan dikenakan hukuman di bawah Kanun Keseksaan. 

Manakala pindaan Kanun Tatacara Jenayah memberikan mahkamah kuasa, atas permohonan, untuk mengeluarkan suatu perintah perlindungan terhadap seseorang sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap dengan tujuan untuk melindungi mangsa perlakuan menghendap tersebut. 

Dengan adanya peruntukan baharu dalam undang – undang berkaitan kesalahan menghendap atau skodeng ini, ia dapat memberikan keyakinan kepada masyarakat keselamatan diri mereka dalam hal ini adalah dilindungi dan terjamin,

Perlu diketahui, perlakuan mengendap atau skodeng ini boleh memberikan implikasi serius terhadap kesihatan mental mangsa akibat diganggu dan dihendap. 

Ini adalah berdasarkan rekod hasil tinjauan syarikat penyelidikan dengan kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pada tahun 2020 yang lalu yang melibatkan 1,008 orang responden.

Tinjauan itu mendapati perlakuan menghendap di negara ini adalah meluas dengan 36 peratus individu pernah dihendap dan berasa ketakutan, manakala 12 peratus mendapat ancaman serta 17 peratus mendapat kecederaan. 

Hasil tinjauan juga mendapati perlakuan menghendap memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat dari segi ekonomi, sosial, rekreasi dan hal ehwal penjagaan kanak-kanak. 

Tinjauan juga menunjukan 69 peratus rakyat Malaysia percaya menghendap adalah satu kesalahan. Beberapa buah negara luar sudah pun mengambil inisiatif ini lebih awal dalam mewujudkan undang-undang berkaitan perlakuan mengendap ini seperti Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, India, Jepun dan Singapura. 

Orang ramai dalam negara kita perlu diberi didikan dan kesedaran sepanjang masa supaya tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi yang ada untuk melakukan kegiatan jenayah, sebarang aktiviti yang tidak bermoral atau yang boleh mendedahkan mana – mana pihak dengan risiko bahaya atau memalukan. 

Kemudahan teknologi yang dimiliki hendaklah digunakan dengan berhati-hati dan penuh rasa tanggungjawab.


MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS