Paling Popular
Terkini

Baru berusia 46 tahun, namun Airulmi Mokhtar telah beberapa kali menjalani prosedur berkaitan jantung, dan kini dia perlu mengambil empat jenis ubat berbeza sepanjang hayatnya bagi memastikan jantungnya berfungsi dengan optimum.

Dia percaya kesemua itu kerana cara hidup tidak sihat yang diamalkannya sejak usia belasan tahun termasuk sebagai perokok tegar.

Pengurus Pembangunan Perniagaan itu didiagnosis menghidap penyakit kardiovaskular atau CVD pada 2020 apabila pemeriksaan mendapati arteri jantungnya tersumbat hampir 90 peratus. Dia sebelum itu mengalami serangan jantung sebanyak dua kali semasa melakukan aktiviti harian.

“Saya akui cara hidup saya amat tidak sihat. Saya menjadi perokok semasa usia remaja disebabkan pengaruh rakan sebaya. Tambahan pula harga rokok sangat murah ketika itu, hanya sekitar RM2 sekotak 10 batang. Selepas menamatkan pengajian pada 2001, saya bekerja sebagai jurutera pengeluaran di beberapa buah kilang di ibu negara selama 10 tahun.

  “Disebabkan keadaan kerja yang amat sibuk, saya menghidap hipertensen akibat tidak cukup rehat selain mengamalkan pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam. Ketika itu juga saya banyak bergantung pada makanan segera selain makan lewat malam,” kongsinya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Airulmi pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya, dan menurut lelaki itu, dia kini menjalani cara hidup sihat termasuk memastikan diet yang seimbang selain sentiasa bersenam.

 Membimbangkan   

 Kisah Airulmi itu bukan sesuatu yang memeranjatkan buat Dr Zulkifli Ismail, pakar perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik daripada KPJ Selangor Specialist Hospital.

Menurut beliau, prevalens penyakit jantung dalam kalangan golongan muda, khususnya lelaki, di negara ini menunjukkan peningkatan yang semakin membimbangkan sejak tahun-tahun belakangan ini.

 “Disebabkan kanak-kanak sekarang mengamalkan tingkah laku sedentari, banyak ‘bertemankan’ telefon bimbit dan komputer, sementara diet pula lebih kepada makanan diproses yang tidak seimbang kandungan nutriennya. Keadaan ini menyumbang kepada masalah obesiti yang didapati semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak termasuk di luar bandar.

“Kita tahu, kanak-kanak obes berpotensi besar menjadi orang dewasa yang obes,  melainkan tindakan segera diambil bagi menangani keadaan itu,” katanya kepada Bernama.

 Jelas beliau, peningkatan kes obesiti akan turut meningkatkan penyakit lain yang berkaitan seperti diabetes melitus dan penyakit jantung iskemik.

Dr Zulkifli yang memetik satu kajian yang dijalankan oleh beberapa pakar kardiologi tempatan dan diterbitkan pada 2016, berkata kajian itu menunjukkan rakyat Malaysia menghidap Sindrom Kardiovaskular Akut (ACS) pada usia  55.9 dan 59.1 tahun berbanding penduduk di negara lebih maju yang menghidap penyakit tersebut dalam lingkungan umur 63.4 dan 68 tahun.

Umumnya, Malaysia dianggar merekodkan 141 kes berkaitan CVD bagi setiap 100,000 penduduk, kata beliau.

Jejaskan pembangunan negara 

 Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi di Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Nor Ashikin Md Sari berkata masalah rakyat menghidap CVD pada usia lebih muda berbanding penduduk di negara barat, boleh memberikan kesan kepada pembangunan dan kemajuan negara.

“Komplikasi akibat CVD termasuk kematian dan kehilangan upaya boleh membebankan ekonomi serta membawa impak negatif terhadap sosioekonomi. Kematian dan kehilangan upaya dalam kalangan pesakit pada usia produktif, khususnya yang menanggung keluarga, memberikan kesan di pelbagai peringkat - individu, isi rumah, kerajaan dan masyarakat amnya. 

“Beberapa laporan termasuk yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, mengetengahkan bahawa kos tahunan bagi rawatan CVD melangkaui perbelanjaan kesihatan per kapita kebanyakan negara berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya, menambah masalah itu turut menimbulkan kebimbangan tentang kualiti penjagaan dan kemampanan pembiayaan kesihatan dalam jangka panjang.

Amalkan gaya hidup sihat  

Dr Nor Ashikin berpendapat cara terbaik untuk mengekang penyakit jantung dalam kalangan orang muda khususnya, ialah mengamalkan dan mengekalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, pelbagai kajian yang dijalankan di banyak negara, secara konsisten menunjukkan individu yang mengamalkan gaya hidup sihat dapat mengurangkan secara ketara kesan advers CVD dan penyakit penyebab maut yang lain. 

“Kehidupan kerja masa kini yang menuntut semua perkara perlu dilakukan dengan pantas serta penuh tekanan, membawa implikasi kesihatan. Contohnya, duduk berpanjangan selain menghadap komputer secara berterusan semasa bekerja di pejabat, bermakna kurang pergerakan fizikal dan tingkah laku sedentari. Kekangan masa disebabkan komitmen kerja juga boleh membawa kepada pengambilan makanan segera secara berlebihan.

“Untuk menangani kebimbangan ini, kita perlu mengubah gaya hidup bagi mencegah CVD termasuk tidak merokok, aktif kegiatan fizikal, lebihkan makan sayur dan buah-buahan serta kurangkan pengambilan daging merah, selain mengekalkan berat badan ideal,” katanya.

Dr Nor Ashikin melihat inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang kawalan produk tembakau dan merokok sebagai satu langkah yang amat dialu-alukan kerana dasar awam, perundangan dan penguatkuasaan adalah prasyarat bagi sebarang langkah kesihatan di peringkat kebangsaan.

Rang undang-undang itu yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mei depan, boleh menjadi kuasa dan pemangkin utama dalam menamatkan epidemik rokok, sekali gus menghapuskan tabiat merokok sebagai faktor risiko utama penyakit jantung golongan muda Malaysia, katanya.   

“Untuk memastikan keberkesanan, laksanakan program henti merokok bersama-sama dasar dan perundangan yang ketat. Berhenti merokok boleh mengurangkan risiko kematian awal dan CVD sekitar 50 peratus dalam tempoh setahun,” tambah beliau.  

Didik di sekolah  

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata tidak kurang pentingnya ialah kempen dan inisiatif dengan mesej jelas berkaitan gaya hidup sihat.

Dalam konteks ini, pendidikan rendah dan menengah perlu disemak semula dengan memberi penekanan kepada gaya hidup sihat dan cara mencapainya.

"Kesemua usaha ini harus meliputi pilihan gaya hidup sihat, kegiatan fizikal, nutrisi seimbang dan pemeriksaan perubatan berkala serta pendidikan kesihatan. Kita ada ruang untuk memupuk gaya hidup aktif dan sihat serta pemakanan seimbang dalam kalangan penduduk dewasa pada masa depan kerana Malaysia diunjur menjadi negara menua menjelang 2030,” ujar beliau.

Selain itu, perlu ada komitmen politik yang tinggi untuk melaksanakan agenda melahirkan golongan dewasa yang sihat, hasil daripada kanak-kanak yang dididik dengan baik tentang pilihan gaya hidup sihat.

Bagi melaksanakan semua ini, ada pelbagai pendekatan yang boleh diterima guna untuk mengoptimumkan pendedahan, jangkauan dan keberkesanan termasuk memanfaatkan semua platform media selain melibatkan orang ramai menerusi media sosial, kata beliau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS