Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun dakwa majlis dialog KPT 'sesi cuci otak'
Diterbitkan:  Apr 9, 2023 5:49 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Majlis dialog Kementerian Pengajian Tinggi yang menampilkan menteri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis telah disifatkan sebagai "sesi cuci otak" selepas kementerian dikatakan mengetepikan soalan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Adun Tanah Rata Ho Chi Yang kesal dengan sesi selama dua jam itu, mendakwa Khaled dan pengurusan universiti terbabit telah mengindoktrinasi pandangan mereka terhadap pelajar dan peserta lain.

Ho (gambar, bawah) berkata sesi yang diadakan di Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya itu hanyalah platform untuk para pegawai menayangkan pencapaian penunjuk prestasi utama kementerian itu.

“Kementerian Pengajian Tinggi jelas tidak berniat untuk mendengar tuntutan pelajar untuk memansuhkan Auku.

“Mereka mengelak banyak soalan tajam daripada pelajar dan enggan menangani tuntutan untuk memansuhkan undang-undang zalim.

"Akibatnya, ramai pelajar tidak berpuas hati dan kecewa," kata Ho, yang juga ketua biro hal ehwal universiti Pemuda DAP.

Walaupun Khaled hadir sepanjang majlis dialog itu, pemerhatian Malaysiakini menunjukkan menteri itu tidak menjawab majoriti soalan yang diajukan.

Sebaliknya Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Husaini Omar yang menjawab soalan-soalan yang diajukan siswa.

Dalam sidang akhbar lewat hari itu, Khaled berkata pindaan terhadap Auku berkemungkinan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, dengan draf rang undang-undangnya terlebih dahulu dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan pada pertengahan Jun.

Patutnya Anwar lebih faham

Memetik majlis dialog Anwar Ibrahim bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada hari Jumaat, Ho kecewa kerana perdana menteri menyokong pengekalan undang-undang zalim itu.

“Terutama kerana beliau adalah salah seorang bekas aktivis pelajar yang menjadi sasaran rejim autoritarian pada 1970-an.

“Anwar harus berfikiran terbuka dan mendengar suara mahasiswa dan para ahli akademik sebelum membuat keputusan penting berhubung undang-undang zalim itu,” tegasnya.

Justeru, Ho menyeru kerajaan supaya mematuhi tuntutan mahasiswa untuk memansuhkan Auku kerana ia langkah penting ke arah memperkukuh kebebasan akademik.

“Sebagai contoh, Auku kini memberikan kuasa kepada kerajaan dan menteri pengajian tinggi untuk melantik naib canselor, justeru campur tangan politik di universiti sukar dielakkan.

“Oleh itu, Auku perlu dimansuhkan bagi mewujudkan sistem yang demokratik dan telus dalam memilih jawatan tertinggi universiti,” katanya.

Ho juga berkata pemansuhan Auku akan menggalakkan tadbir urus yang lebih baik di universiti dan menghapuskan amalan melantik penyokong politik sebagai pemegang kepentingan institusi pengajian tinggi.

Auku diperkenalkan pada tahun 1971 oleh menteri pendidikan ketika itu Dr Mahathir Mohamad dan dikatakan sebagai cubaan untuk mengekang pergerakan mahasiswa.

Akta itu telah melalui tujuh pindaan.

Pindaan terbaru pada 2018 - ironinya di bawah kerajaan Mahathir juga - memberikan lebih banyak kebebasan kepada mahasiswa untuk menyertai politik, baik di dalam mahupun di luar kampus.

Memansuhkan Auku merupakan salah satu janji manifesto PH pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, kerajaan sekarang turut menggabungkan BN – yang pernah menjadi penyokong Auku pada masa lalu.

Khaled yang juga pemimpin utama BN sebelum ini berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Auku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS