Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan salah laku membabitkan seorang remaja perempuan baru-baru ini.
Ini selepas remaja berkenaan dilihat memakai pakaian seragam pertubuhan itu dalam satu rakaman video tular yang menunjukkan dia dan seorang pemuda melakukan hubungan intim di dalam sebuah kereta.
Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha agung pertubuhan itu, Hakim Hamzah berkata, BSMM memandang serius kejadian itu dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan.
"Kami memastikan semua belia, ahli, sukarelawan, pekerja dan wakil kami mematuhi kod tingkah laku yang ketat," kata Hakim.
Terdahulu, gadis berusia 17 tahun itu bersama seorang pemuda berusia 22 tahun, ditahan pada Khamis lalu susulan tular klip video menunjukkan mereka melakukan hubungan intim dalam sebuah kereta di sebuah kawasan parkir kenderaan.
Semalam, pihak polis memperoleh perintah tahanan reman selama dua hari terhadap pasangan itu untuk disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana "berkelakuan tidak senonoh".
Tindakan undang-undang terhadap pempengaruh media sosial
Hakim dalam pada itu mengecam penggunaan lambang persatuan itu oleh pihak tertentu dan pempengaruh media sosial yang mengikuti perkembangan kes berkenaan.
Dia berkata demikian sebagai merujuk video parodi mengenai kejadian itu yang dimuat naik di media sosial.
"Kami ingin memberitahu dan mengingatkan orang ramai bahawa lambang Bulan Sabit Merah adalah simbol perlindungan dan melambangkan bantuan. Ia juga melambangkan harapan dan perlu dihormati.
"Lambang Bulan Sabit Merah dan perkataan 'Bulan Sabit Merah' atau 'Red Crescent' dilindungi secara khusus di bawah Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (Penukaran Nama) 1975 [Akta 162].
"Penggunaan lambang tanpa kebenaran oleh mana-mana orang selain BSMM adalah dilarang," tegasnya.
Justeru, dia menegaskan bahawa BSMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar akta berkenaan demi memelihara imej pertubuhan itu.