Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP sokong pendirian PM Asean perlu bebas dan berkecuali
Diterbitkan:  Apr 8, 2023 3:51 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

DAP menyuarakan sokongan penuh terhadap komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memastikan Asean kekal bebas, aman dan berkecuali.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata pendirian Anwar - yang dinyatakan ketika wawancara dengan penyiar kebangsaan China CCTV - sepatutnya telah menghantar mesej jelas kepada negara itu supaya tidak menjadikan Asean berisiko sebagai zon perang.

"Atas sebab ini, pembelian lapan kapal selam nuklear Australia pada harga AUD$ 368 bilion di bawah Aukus (pakatan keselamatan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat) menimbulkan peningkatan (ketegangan) yang tidak diingini.

"Ia tidak mengendurkan keadaan tetapi meningkatkan ketegangan ketenteraan antara kuasa besar.

"Perlu diingat bahawa Australia berjiran dengan Asean. Lapan kapal selam nuklear di depan kita hanya boleh memburukkan lagi keadaan di rantau ini," kata Lim dan kenyataan hari ini.

Lim berkata walaupun Aukus telah memberi jaminan bahawa kapal selam itu tidak akan mempunyai senjata nuklear, sebarang pencerobohan di kawasan perairan Asean masih boleh menimbulkan risiko yang tidak diperlukan kepada salah satu laluan perdagangan paling sibuk di dunia itu.

“DAP menyokong penuh Anwar dalam menyatakan bahawa Malaysia telah membangkitkan kebimbangan dan menggunakan garis yang lebih tegas bahawa Aukus di Indo-Pasifik akan memburukkan lagi keadaan di rantau ini.

"Kebimbangan sedemikian adalah sah di tengah ketegangan yang meningkat di Selat Taiwan walaupun negara-negara terlibat setuju dengan dasar Satu China, bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China yang tidak boleh dipertikaikan.

"Malaysia tidak mahu terlibat dalam sebarang konflik ketenteraan tetapi akan berusaha untuk berdagang dengan semua kuasa besar dengan harapan manfaat dan kekayaan bersama daripada perdagangan bebas, tianpa halangan sekatan untuk berlayar di perairan antarabangsa, dapat menyumbang ke arah keamanan dan kemakmuran," katanya lagi.

Anwar ditemubual oleh CCTV semasa lawatan rasmi tiga harinya ke Beijing minggu lalu, di mana dia antara lain menyatakan Asean menggalakkan keamanan, kestabilan dan kerjasama di rantau ini.

“Pendirian ini berterusan. Kami tidak mahu rantau ini menjadi pangkalan persaingan ketenteraan. Pendirian itu agak konsisten walaupun kami kekal mesra dengan semua negara,” katanya ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS