Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb menteri minta FB, TikTok padam video intim remaja bawah umur
Diterbitkan:  Apr 7, 2023 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata dia telah memaklumkan kepada Facebook dan TikTok untuk memadamkan video pasangan berkelakuan tidak senonoh melibatkan seorang pemuda berusia 22 tahun dan remaja perempuan berumur 17 tahun di Pasir Gudang, Johor.

“Saya tidak mempunyai pautan TikTok. Jadi saya hanya maklumkan mereka (berhubung video berkenaan).

“Mereka beritahu saya yang mereka tidak jumpa video yang dimaksudkan itu, mungkin ia telah diturunkan,” kata Teo kepada Malaysiakini.

Kedua-dua individu tersebut ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan polis berhubung video tular selama 23 saat, yang menunjukkan mereka melakukan hubungan intim dalam sebuah kereta.

Setakat ini, identiti individu yang merakam dan memuat naik video tersebut masih belum dikenal pasti.

Berita Harian melaporkan Majistret Noorfazlin Hamdan membenarkan permohonan reman oleh polis terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang menjenayahkan “perbuatan jelik” . Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.

Kedua-dua mereka dilapor ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Pasir Gudang semalam.

‘Remaja bawah umur perlu dilindungi’

Mengulas laporan media, pengarah Biro Hak Asasi Manusia Muda, Dobby Chew mempersoalkan kelemahan dalam melindungi remaja bawah umur yang menghadapi situasi sedemikian, termasuk agar identiti mereka dilindungi pihak berkuasa dan media.

“Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mesti menjawab kelakuan pasukan polis dalam penahanan dan publisiti kes tersebut.

“Perlu ada peraturan dan perintah yang jelas mengenai layanan terhadap kanak-kanak bawah umur, dan sebarang pelanggaran yang dilakukan oleh pegawai penahanan mesti diambil tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan.

Chew juga berkata Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan peraturan yang jelas mengenai layanan terhadap pesalah juvana.

“Seksyen 83A(1) secara jelas menyatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh digari melainkan ia merupakan kesalahan yang melibatkan jenayah berat atau terdapat percubaan untuk menolak atau mengelak daripada ditangkap.

"Tiada tanda-tanda bahawa kedua-dua individu itu, dalam apa cara sekalipun melakukan kesalahan besar atau menolak penahanan.

"Tambahan lagi, sangat tidak beretika bagi polis untuk mengiringi kedua-duanya dalam pakaian tahanan reman, bergari dan membenarkan gambar mereka diambil dalam keadaan sedemikian disebarkan dan dikongsi secara bebas," kata Chew,

Dia merujuk rakaman kejadian itu, serta gambar pasangan itu diiringi keluar dari trak polis dengan berpakaian reman dan bergari pagi tadi.

Chew berkata ada media yang menyiarkan gambar terbabit tanpa mengambil kira individu berkenaan adalah remaja di bawah umur.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak sebelum ini berkata kejadian dalam video itu dipercayai berlaku pada 3.03 petang pada 29 Mac lalu di sebuah tempat letak kereta di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Menurutnya sebuah Perodua Axia berwarna merah dan sehelai baju T putih unit beruniform sekolah dirampas untuk tujuan siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS