Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dialog siswa: Maklumkan lebih awal, jaga keharmonian kampus - PM

Kerajaan mengalu-alukan program dialog bersama mahasiswa di universiti sekiranya penganjur mematuhi dua syarat, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Katanya, dua syarat berkenaan ialah program seumpama itu perlu dimaklumkan kepada pihak universiti terlebih dahulu dan tiada unsur yang boleh merosakkan suasana harmoni dalam kampus.

Anwar menjawab soalan seorang pelajar yang meminta dia menyatakan pendirian berkenaan hak kebebasan kepada pelajar.

Pelajar itu merujuk tindakan UiTM menghalang presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman daripada menghadiri sesi dialog yang dijadualkan berlangsung di UiTM Shah Alam baru-baru ini.

"Saya nak sebut kita bagi kelonggaran bagi orang masuk (universiti), kena ada peraturan, kena maklum, macam masuk rumah kita.

"Kena maklum dewan mana, kena pastikan HEP kawal, tahu lebih terbuka dan tidak mengongkong tapi mengawal. Mesti maklum tempat dan terkawal.

“Tiada unsur yang merosak suasana harmoni dalam kampus, itu kita tak bertolak ansur," katanya.

Pada 28 Mac lalu Syed Saddiq mendakwa UiTM tidak meluluskan dialog yang dianjurkan oleh Mahasiswa Demokratik Malaysia dengan alasan bagi menjaga keharmonian dalam kampus.

Syed Saiddiq juga mendakwa universiti itu mengambil pelbagai tindakan untuk menghalang dialog yang bertajuk "Intern Bukan Buruh Paksa" itu.

Bagaimanapun, dia tetap hadir ke universiti itu bersama rombongan pada malam dialog itu sepatutnya diadakan.

Syed Saddiq kemudian mengadakan rundingan dengan beberapa kakitangan UiTM dan memberitahu pemberita bahawa pihak universiti bersetuju menetapkan semula sesi dialog itu ke satu tarikh lain.

UiTM kemudiannya mengaku menerima surat permohonan daripada Mahasiswa Demokratik Malaysia, tetapi mendakwa ia dialamatkan kepada orang yang salah - bukannya Naib Canselor UiTM, Roziah Mohd Janor.

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin kemudian memberi jaminan bahawa tiada pihak, termasuk ahli politik akan dihalang daripada memasuki dan mengadakan program di institusi pengajian tinggi awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS