Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia tidak akan masuk 'perangkap hutang' China

Pelaburan China di negara membangun melalui Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) tidak akan mengakibatkan Malaysia termasuk dalam 'perangkap hutang' negara kuasa besar itu. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebaliknya berkata, pembiayaan China dalam projek berskala besar seperti Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan perlu dilihat sebagai kerjasama dua hala yang strategik. 

"Ini adalah pilihan kerajaan, bila kita tandatangan perjanjian, itu komitmen kita kena ambil tanggungjawab. 

"Jadi sudah tentu apabila kita mahu laksanakan satu-satu projek, sudah tentu ada kelebihan dia, tak bolehlah dilihat seolah-olah satu perangkap untuk kita, hutang kepada mana-mana pihak atau negara China," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini. 

Anthony Loke

Terdahulu, Loke bersama menteri besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Jawatankuasa Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Guangxi, China, Liu Ning hadir pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 MCKIP di sebuah hotel di bandar raya Kuantan. 

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan media Barat berkaitan amaran 'perangkap hutang' kepada negara membangunkan melalui BRI dipromosikan China sejak tahun 2008.

Sejak 2008 hingga 2021, sebanyak 22 negara membangun menjadi 'mangsa' China selepas gagal membayar komitmen hutang berjumlah AS40 bilion untuk kerja pembangunan infrastruktur di negara terbabit. 

"Kita memang ambil pinjaman untuk (melaksanakan) projek itu, jadi kita kena maksimumkan (keuntungan) melalui projek itu. 

"Umpamanya ECRL kita sekarang ini sedang memaksimumkan nilai projek ini untuk membangunkan negeri kita," katanya lagi. 

Projek ECRL membabitkan kos RM55 bilion dan pembinaannya dilakukan syarikat China Communications Construction Company (CCCC), sebuah syarikat milik kerajaan China yang sedang melobi kontrak Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura. 

Pembinaan landasan ECRL sepanjang 688 kilometer itu dijangka siap dan boleh digunakan pada tahun 2027.

Dalam pada itu, Loke turut mengesahkan sudah menerima cadangan daripada kerajaan Pahang untuk projek pembinaan lapangan terbang baharu di negeri itu. 

"Kita akan ada perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri Pahang, di peringkat Kementerian Pengangkutan kita akan 'facilitate' jadi hasrat kerajaan Pahang dihormati dan kita akan cuba yang terbaik. 

"Sudah tentu infrastruktur pengangkutan itu akan membina ekosistem pengangkutan yang penting, bila ada pelabuhan, lapangan terbang dan rel (ECRL), bukan semua negeri ada kelebihan seperti itu," katanya. 

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan Pahang menerima pelaburan berjumlah RM5.6 bilion dari China sepanjang tahun lalu. 

"Ini tidak termasuk pelaburan sedia ada oleh MCKIP berjumlah RM30 bilion sejak mereka memulakan operasi pada tahun 2013," katanya. 

Dia turut memaklumkan pembinaan fasa 2 dan fasa 3 MCKIP berjalan lancar dan apabila siap, kedua fasa ini akan menjadikan bandar MCKIP sebagai bandar pelabuhan serba lengkap. 

"Fasa 3 akan menghubungkan terus pelabuhan Kuantan dan ECRL, dan pembangunan lapangan terbang pada masa akan datang di kawasan ini akan mengubah kawasan perindustrian Gebeng dan MCKIP sebagai hab logistik strategik kepada pelabur," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS